IPOH: Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) akan diteruskan sebagai wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta membawa mesej perpaduan dan cinta akan negara yang lebih dekat kepada rakyat di seluruh tanah air.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan KMJG itu antara pengisian utama bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.”
“Walaupun sambutan tahun ini dilaksanakan secara berhemat dengan mengoptimumkan sumber yang ada, semangat patriotisme dan penghayatan terhadap erti kemerdekaan tetap menjadi keutamaan.
“Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang juga terus dipergiat bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan kebanggaan negara,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) bersempena dengan HKHM 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sementara itu, Saarani berkata, pelancaran berkenaan menandakan bermulanya Bulan Kebangsaan yang mengajak masyarakat mengingati perjalanan negara, mengenang pengorbanan generasi terdahulu serta mensyukuri keamanan dan kemajuan yang dinikmati hari ini.
Beliau berkata, generasi yang lahir selepas kemerdekaan mungkin mempersoalkan kepentingan untuk terus memperkatakan tentang kemerdekaan memandangkan mereka tidak pernah melalui pengalaman hidup di bawah penjajahan.
“Mungkin ada yang beranggapan bahawa kita sepatutnya move on dan tidak terlalu bersentimental dengan bercakap perkara-perkara lampau. Namun hakikatnya, setiap zaman mempunyai perjuangannya yang tersendiri,” katanya.
Saraani berkata, generasi terdahulu berjuang membebaskan negara daripada penjajahan dan mewariskan tanah air yang merdeka, tetapi generasi hari ini pula memikul tanggungjawab yang berbeza bagi memastikan negara terus aman, bersatu dan mampu menyediakan kehidupan lebih baik kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, hari ini, rakyat tidak lagi berdepan dengan penjajahan dalam bentuk yang sama seperti dahulu, sebaliknya berdepan cabaran persaingan ekonomi sengit, iklim ekonomi tidak menentu, kepantasan perubahan teknologi serta lambakan maklumat yang bergerak tanpa sempadan.
“Kerana kemerdekaan bukan hanya soal membebaskan negara daripada penjajahan, tetapi juga tentang memastikan rakyatnya dapat hidup dalam keadaan aman, stabil dan mempunyai keyakinan terhadap masa depan.
"Atas sebab itulah, kemerdekaan perlu terus diingati, dihargai dan diisi mengikut tuntutan serta cabaran pada setiap zaman," katanya.
-- BERNAMA