Kod Tatalaku Laut China Selatan bukan instrumen selesai pertindihan kawasan - Mohamad

Mohamad berkata, pertindihan kawasan perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan yang dijangka dimuktamadkan tahun ini bukanlah instrumen untuk menyelesaikan pertindihan kawasan, sebaliknya satu kerangka bagi memastikan perairan itu kekal sebagai laluan perdagangan yang selamat, bebas dan aman untuk digunakan semua pihak, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata pertindihan kawasan perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala atau pelbagai hala, manakala COC berperanan menetapkan prinsip tatalaku dan langkah membina keyakinan bagi mengelakkan ketegangan di kawasan berkenaan.
"Negara kita, Malaysia, merupakan country coordinator bersama China. Kita berusaha dan telah menjalankan apa yang dikenali sebagai Rapid Discussion Group serta Jawatankuasa Joint Working Group on COC.
"Jadi saya yakin banyak terma-terma dalam COC telah mendapat persetujuan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai perkembangan terkini rundingan COC di Laut China Selatan, termasuk peranan Malaysia, kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh dan langkah kerajaan menanganinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


