PITAS:Semua daerah di Sabah perlu mempunyai kolam takungan air sendiri sebagai simpanan alternatif untuk digunakan apabila berlaku gangguan bekalan ketika musim banjir atau kemarau.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata semua pegawai daerah diarah menubuhkan jawatankuasa khas yang dianggotai oleh agensi termasuk Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Parit dan Saliran Jabatan, Jabatan Mineral dan Geosains bagi membincangkan pelan cadangan dan tindakan selain mengenal pasti tapak sesuai.

“Apabila ada cadangan dan laporan terperinci yang disyorkan oleh jawatankuasa berkenaan, ia memudahkan pihak kerajaan mengambil tindakan susulan dan menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas taklimat oleh Jurutera Daerah JKR Pitas, mengenai kerosakan pada jalan-jalan jabatan dan paip air ekoran banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri JKR, Datuk Limus Jury; Ahli Dewan Undangan Negeri Bengkako, Harun Durabi dan Pegawai Daerah Pitas, Bakri Nanun.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Jurutera Daerah JKR Pitas, Lim Dixon Amando.

Menurut Bung, masalah bekalan air bersih di beberapa daerah di Sabah kerap berlaku ketika musim banjir, ekoran air sungai tidak dapat disedut disebabkan terlalu keruh, malah keadaan itu menyebabkan ia tidak dapat diproses.

Katanya, banjir juga kerap menyebabkan muka sauk loji rawatan air mengalami masalah kerana dipenuhi sampah dan lumpur.

“Selama ini kita sedut air dari sungai terus ke rumah pam untuk diperoses dan apabila masalah ketika banjir timbul, dengan stok bekalan air di loji terhad... menyebabkan kita memang ambil masa berminggu, malah berbulan baru dapat membekalkan air bersih kepada pengguna,” tambah beliau lagi.

Menurut Bung, sekiranya ada kolam penyimpan air, ia boleh digunakan untuk membekalkan bekalan air bersih kepada pengguna sebagai alternatif.

“Setakat ini, hanya tiga daerah sahaja di negeri ini mempunyai kolam takungan iaitu di Telibong Tamparuli, Milau Kudat dan di Sagaliud Kudat. Sementara daerah-daerah lain hanya bergantung dari bekalan dari rumah pam yang disedut terus dari sungai," jelas Bung.

Dalam perkembangan lain, Bung meminta Jurutera Daerah mengambil tindakan segera memperbaiki jalan yang rosak dengan mendahulukan masalah yang kritikal sehingga menjejaskan sistem perhubungan masyarakat di kawasan tersebut.