JIKA mengikut kebiasaan, setiap tahun sekitar bulan Oktober, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan membentangkan belanjawan negara di Dewan Rakyat. Pembentangan ini bukan sekadar acara tahunan dalam takwim Parlimen. Belanjawan memberikan gambaran tentang jumlah peruntukan setiap kementerian serta program baharu yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan. Selain itu, ini juga masa terbaik untuk kita melihat dan menilai kedudukan kewangan negara, keupayaan Kerajaan mengusulkan penyelesaian masalah masyarakat serta kreativiti dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Belanjawan turut mencerminkan susunan keperluan dan keutamaan negara. Selain pendidikan dan kesihatan, pertahanan antara sektor yang lazimnya menerima peruntukan besar. Persoalannya, dalam konteks hari ini, berapakah jumlah peruntukan pertahanan yang boleh dianggap mencukupi? Adakah nilai yang diperuntukkan selama ini sepadan dengan keperluan negara?
Asas Sasaran 1.5 Peratus
Kementerian Pertahanan (MINDEF) mencadangkan agar perbelanjaan pertahanan negara diunjurkan pada kadar 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030, selaras dengan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP). Sasaran ini disandarkan pada beberapa petunjuk dan tanda aras.
Pertama, sifat ancaman keselamatan hari ini telah banyak berubah dan semakin kompleks. Ancaman kini hadir dalam bentuk konvensional dan bukan konvensional, dan gabungan kedua-duanya menjadikan kebanyakan serangan bersifat hibrid. Peperangan kognitif dan aktiviti berasaskan kecerdasan buatan (AI) juga semakin membimbangkan. Keadaan ini menuntut pengukuhan infrastruktur dan peningkatan keupayaan pertahanan. Dalam landskap keselamatan Indo-Pasifik yang semakin mencabar, sasaran 1.5 peratus berpotensi menstabilkan pembiayaan keselamatan, memperkukuh perancangan berbilang tahun serta menyokong pembinaan keupayaan yang sejajar dengan aspirasi Multi Domain Integrated Operations 2030.
Kedua, sasaran tersebut membantu sektor pertahanan menyusun semula keutamaannya. Antara aspek yang wajar diberi tumpuan termasuklah rangkaian komunikasi selamat, sistem penderiaan, pertahanan udara berlapis, platform tanpa pemandu, serta penyelidikan dan inovasi yang diselaraskan dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sering menegaskan bahawa fokus MINDEF adalah untuk terus memodenkan dan memperkasakan kesiagaan aset pertahanan negara. Penegasan ini antaranya dibuat semasa Perutusan Tahun Baharu MINDEF 2026 dan pembentangan Kajian Separuh Penggal KPP. Pemodenan ini merupakan intipati utama aspirasi pembangunan Angkatan Masa Hadapan yang sedang dilaksanakan oleh MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam Belanjawan 2026, MINDEF diperuntukkan sebanyak RM21.74 bilion, iaitu peningkatan 2.92 peratus berbanding tahun sebelumnya. Walaupun peningkatan ini sederhana, trajektorinya menunjukkan usaha berterusan untuk mengekalkan momentum pemodenan aset dan kesiagaan operasi, sekali gus menyokong matlamat jangka panjang untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara mampan ke arah sasaran 1.5 peratus KDNK.
Kredibiliti Serantau dan Ujian Komitmen
Penanda aras serantau menunjukkan wujudnya jurang yang perlu ditangani oleh Malaysia secara segera dan strategik. Singapura, walaupun kecil dari segi geografi dan populasi, mengekalkan peruntukan pertahanan sekitar 2.7 hingga 3 peratus daripada KDNK. Republik itu turut membina asas pelaburan yang stabil bagi memastikan pemilikan keupayaan terkini. Armada udaranya merangkumi pesawat F-15SG dan F-16 yang dinaik taraf, manakala tempahan F-35B dan F-35A memperkukuh transformasi jangka panjangnya. Di laut, frigat kelas Formidable menjadi tulang belakang operasi berlapis, manakala kapal selam kelas Invincible telah mula ditauliahkan. Konsistensi fiskal ini diterjemahkan kepada keupayaan yang boleh diuji secara berkala dengan tahap kebolehoperasian yang tinggi.
Selain aset konvensional, Singapura turut menyalurkan pelaburan yang signifikan ke dalam bidang pertahanan siber dan teknologi baharu. Ekosistem pertahanan digitalnya diperkukuh melalui strategi menyeluruh yang merangkumi perlindungan infrastruktur kritikal, peperangan maklumat dan pembangunan kecerdasan buatan. Langkah ini menunjukkan bahawa pemodenan angkatan tenteranya tidak terhad kepada aset udara dan laut, tetapi turut merangkumi domain baharu yang bakal mencorakkan bentuk konflik masa hadapan.
Vietnam pula lazimnya memperuntukkan sekitar 1.8 hingga 2 peratus daripada KDNK untuk pertahanan. Walaupun angka ini berubah dari tahun ke tahun, secara puratanya Vietnam menunjukkan komitmen yang konsisten terhadap pembinaan kapasiti ketenteraan. Angkatan udaranya masih bertunjangkan pesawat tempur Su-27 dan Su-30MK2 buatan Rusia. Bagi pertahanan pesisir pantai, Vietnam menempatkan sistem peluru berpandu Bastion K-300P yang memberikan keupayaan pencegahan (deterrence) terhadap ancaman maritim di Laut China Selatan.
Usaha pemodenan maritim Vietnam semakin terserlah melalui perolehan enam buah kapal selam kelas Kilo dari Rusia, yang memberikan negara itu kapasiti operasi dasar laut yang signifikan dalam kalangan negara ASEAN. Walaupun banyak bergantung pada peralatan Rusia, Vietnam terus mengekalkan momentum pemodenan bagi melindungi kepentingan maritimnya. Strategi ini memperlihatkan bahawa walaupun sumber kewangan terhad, sesebuah negara masih mampu membina daya tahan melalui aset yang memberikan nilai strategik yang tinggi.
Filipina pula kini meningkatkan belanjawan pertahanannya kepada sekitar 1.3 peratus daripada KDNK. Program pemodenannya termasuk perolehan frigat kelas Jose Rizal dari Korea Selatan dan pesawat FA-50 Fighting Eagle. Selain itu, Filipina menerima sistem peluru berpandu BrahMos dari India bagi memperkukuh kapasiti pertahanan maritimnya. Langkah ini mencerminkan usaha republik itu untuk meningkatkan daya pencegahan dalam menghadapi ketidakstabilan di rantau ini.
Berbanding negara-negara tersebut, perbelanjaan pertahanan Malaysia berada sekitar satu peratus daripada KDNK sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kedudukan ini berisiko mewujudkan persepsi jurang komitmen jika tidak disertai pelan kenaikan berperingkat ke arah sasaran 1.5 peratus. Rakan serantau lazimnya menilai kesungguhan sesebuah negara berdasarkan kapasiti yang boleh digerakkan, kekerapan latihan gabungan dan kestabilan pembiayaan. Dengan pelaksanaan yang konsisten, peningkatan secara berperingkat berpotensi memperkukuh kredibiliti Malaysia dalam ASEAN dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA), di samping menambah nilai sumbangan negara dalam operasi pengaman. Sebaliknya, jika sasaran fiskal tertangguh, ruang pengaruh Malaysia cenderung menjadi terhad kerana modal politik dalam diplomasi pertahanan banyak dipacu oleh keupayaan yang terbukti di lapangan.
Transformasi Pertahanan dan Industri
Aspirasi Menteri Pertahanan untuk memodenkan ATM merupakan langkah yang amat penting dan kritikal, lebih-lebih lagi jika dilihat pada kesungguhan negara jiran membangunkan aset pertahanan mereka. Pendirian beliau yang meletakkan domain siber sebagai aspek kritikal pertahanan negara juga selari dengan arah tuju negara-negara lain di dunia.
Namun, persoalan yang dibahaskan oleh banyak pihak ialah adakah sasaran 1.5 peratus itu mencukupi, dan adakah Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapainya? Sekiranya aspirasi ini berjaya direalisasikan, ruang ke arah transformasi menyeluruh dalam ekosistem pertahanan negara pasti akan terbuka.
Pertama, perbelanjaan yang lebih tinggi menyediakan asas kewangan yang stabil bagi pemodenan aset teras ATM. Kapal peronda generasi baharu, pesawat tempur ringan bagi menggantikan Hawk, pesawat tempur pelbagai peranan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh MiG-29, serta sistem radar maritim yang mampu mengawasi laluan strategik di Selat Melaka dan Laut Sulu memerlukan komitmen fiskal jangka panjang. Tanpa peningkatan belanjawan yang ketara, pelan ini hanya akan kekal sebagai perancangan tanpa pelaksanaan yang tuntas.
Kedua, sasaran ini membuka peluang untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan. Program Kolaborasi Industri (ICP) hanya berkesan apabila wujud perolehan bernilai besar yang mewajibkan pemindahan teknologi.
Ketiga, aspek sumber manusia turut akan mendapat manfaat. Kadar 1.5 peratus memberikan ruang kewangan untuk memperluas program latihan, pendidikan profesional ketenteraan serta penyelidikan pertahanan di universiti awam. Singapura telah membuktikan bahawa gabungan peruntukan yang besar dengan ekosistem akademik mampu melahirkan pusat kajian strategik dan makmal pertahanan yang menjadi tunjang daya tahan jangka panjang.
Risiko Ketinggalan
Kegagalan mencapai sasaran 1.5 peratus akan membawa implikasi strategik yang besar. Malaysia berisiko terus dilihat sebagai “penumpang percuma” (free rider) di rantau ini, iaitu negara yang tidak melabur pada tahap minimum dan dianggap enggan memikul tanggungjawab keselamatan bersama. Keadaan ini melemahkan daya tawar Malaysia dalam forum keselamatan ASEAN, FPDA dan rundingan dua hala dengan kuasa besar. Diplomasi yang berakar pada kelemahan fiskal memberikan isyarat bahawa negara hanya bersandar pada pihak luar untuk melindungi laluan perdagangan strategiknya.
Pada masa yang sama, peruntukan yang tidak mencukupi akan mengehadkan pertumbuhan industri pertahanan tempatan. Dimensi persepsi domestik juga memberikan tekanan tambahan. Rakyat menilai Kerajaan berdasarkan keupayaannya mempertahankan kedaulatan maritim, ruang udara dan keselamatan siber. Apabila berlaku pencerobohan atau ancaman besar, isu komitmen belanjawan pasti akan menjadi pertikaian politik.
Penutup
Kegagalan mencapai sasaran 1.5 peratus hanya akan memberikan gambaran bahawa Malaysia tidak bersedia menghadapi cabaran semasa. Hujah Menteri Pertahanan tentang keperluan perbelanjaan pertahanan mencapai 1.5 peratus KDNK bukanlah semata-mata soal peningkatan kos. Aspirasi yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal KPP pada hakikatnya didorong oleh perkembangan serantau dan global yang amat kritikal. Oleh itu, Malaysia perlu bijak menyusun perbelanjaannya. Jika tidak, alasan kekurangan sumber bukan sahaja akan menggagalkan aspirasi tersebut, malah meletakkan sektor pertahanan negara secara keseluruhannya dalam kelompok yang ketinggalan.
*Artikel ini tulisan Hidayat Muhamad, yang merupakan pemerhati pertahanan dan Alumni Chevening Malaysia.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.