Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Biodiesel B15 perkukuh sekuriti tenaga negara

61679379954_biodieselbiodiese.jpg
Kerajaan sebelum ini bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15, dengan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat bagi memastikan bekalan diesel negara kekal mencukupi. - Gambar fail
Advertisement

KETEGANGAN dan konflik berterusan di Asia Barat yang mencetuskan ketidakstabilan pasaran tenaga global mendorong Malaysia memperkukuh strategi keselamatan tenaga, termasuk meningkatkan penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit.

Kerajaan sebelum ini bersetuju meningkatkan kadar campuran biodiesel daripada B10 kepada B15, dengan pelaksanaannya dibuat secara berperingkat bagi memastikan bekalan diesel negara kekal mencukupi.

Pendekatan itu dilihat sebagai langkah strategik untuk mengoptimumkan sumber tenaga tempatan, khususnya hasil sektor perladangan, selain mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang diimport.

Biodiesel B15 mengandungi 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit atau Palm Methyl Ester (PME) dan 85 peratus diesel petroleum.

Penggunaan campuran itu bukan sahaja membantu mempelbagaikan sumber bahan api negara, malah berpotensi memperkukuh daya tahan Malaysia berdepan turun naik harga dan gangguan bekalan tenaga global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, sebelum ini menjelaskan bahawa penggunaan biodiesel berasaskan sawit sebagai pengganti sebahagian petroleum dapat menyokong keselamatan bekalan tenaga negara.

Menurut beliau, pelaksanaan biodiesel turut menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain memperkukuh usaha negara ke arah kelestarian serta persekitaran hijau.

Program Biodiesel Negara diperkenalkan pada 2011 menerusi pelaksanaan B5 bagi sektor pengangkutan. Program itu kemudian berkembang dengan pengenalan B7 pada 2014, sebelum mandat B10 dan B20 diperluaskan secara berperingkat antara 2019 hingga 2020.

Di bawah pelaksanaan berkenaan, B10 mengandungi 10 peratus PME dan 90 peratus diesel petroleum, manakala B20 terdiri daripada 20 peratus PME dan 80 peratus diesel petroleum.

Keupayaan industri tempatan juga memberi ruang kepada Malaysia untuk meningkatkan pengeluaran biodiesel tanpa menjejaskan bekalan domestik. Berdasarkan data industri, pengeluaran biodiesel negara mencecah kira-kira 1.5 bilion liter setahun, namun masih berada di bawah kapasiti maksimum sedia ada.

Pada masa sama, kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan B15 tidak akan menjejaskan eksport minyak sawit negara kerana Malaysia masih mempunyai lebihan bekalan untuk memenuhi keperluan domestik dan pasaran antarabangsa.

Malaysia ketika ini menghasilkan kira-kira 20 juta tan metrik minyak sawit setahun, dengan sekitar 16 juta tan metrik dieksport manakala baki kira-kira empat juta tan metrik digunakan untuk pasaran domestik. Daripada jumlah itu, hanya sekitar 0.8 juta tan metrik diperlukan bagi pelaksanaan B15.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa penggunaan biodiesel mempunyai potensi besar bukan sahaja dari sudut keselamatan tenaga, malah dalam memperkukuh rantaian ekonomi sektor sawit.

Permintaan terhadap minyak sawit untuk penghasilan biodiesel dapat mewujudkan pasaran tambahan kepada industri, sekali gus memberi manfaat kepada pekebun kecil dan pemain industri berkaitan.

Namun, kejayaan dasar biodiesel tidak boleh bergantung kepada kerajaan dan industri semata-mata. Kefahaman serta sokongan rakyat amat penting bagi memastikan dasar berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

Masyarakat perlu memahami bahawa penggunaan biodiesel bukan sekadar usaha memanfaatkan hasil komoditi tempatan, sebaliknya merupakan langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import, mempelbagaikan sumber tenaga dan meningkatkan daya tahan negara ketika berlaku krisis tenaga global.

Sokongan rakyat juga penting bagi memastikan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih mampan dapat dilaksanakan secara berperingkat. Kesediaan masyarakat menerima penggunaan biodiesel akan membantu kerajaan mencapai matlamat keselamatan tenaga, kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang.

Dalam konteks ketidaktentuan geopolitik dunia ketika ini, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber tenaga luar. Sebaliknya, sumber tempatan perlu dimanfaatkan secara optimum dengan mengambil kira kepentingan ekonomi, alam sekitar dan keselamatan bekalan.

Justeru, biodiesel wajar dilihat bukan sekadar sebagai alternatif kepada diesel petroleum, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Malaysia untuk membina sistem tenaga yang lebih kukuh, mampan dan berdaya tahan.

Dengan dasar yang dirancang secara teliti serta sokongan kerajaan, industri dan rakyat, biodiesel berasaskan sawit berupaya menjadi antara instrumen penting dalam memperkukuh sekuriti tenaga negara, di samping menyokong kelangsungan industri sawit dan agenda pembangunan hijau Malaysia.


* Hasimi Muhamad merupakan wartawan penyiaran di Astro AWANI dan lulusan Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement