Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] India ada Taj Mahal, Malaysia juga ada kisah cinta tersendiri

Taj Mahal
Taj Mahal adalah kisah tentang cinta yang dibina untuk dikenang, bahkan selepas ratusan tahun berlalu. -Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

JIKA India ada Taj Mahal, sebuah monumen yang dibina atas nama cinta seorang suami kepada isterinya, Malaysia pula mungkin mempunyai sesuatu yang jauh lebih sederhana, tetapi nilainya tidak kurang besar.

Taj Mahal berdiri megah di Agra, merentas ratusan tahun sebagai bukti bahawa cinta boleh meninggalkan sesuatu yang kekal. Sampai hari ini, manusia dari seluruh dunia masih datang untuk melihat sendiri monumen yang lahir daripada sebuah kisah cinta itu.

Berkampung di bumi India lebih seminggu atas tuntutan tugas membuat liputan acara antarabangsa, saya tiba-tiba terfikir - jika Taj Mahal menjadi simbol cinta kepada seseorang, apakah pula simbol cinta kita kepada Malaysia?

Persoalan itu terasa lebih dekat menjelang 16 September, ketika rakyat Malaysia kembali menyambut Hari Malaysia.

Malaysia mungkin sebuah negara yang kecil di peta dunia, tetapi kita sentiasa mempunyai cita-cita untuk ‘membesar’ di pentas antarabangsa.

Dan walaupun Malaysia sebuah negara yang kecil, bukan bermakna perjalanan kita mudah.

Kita hidup dengan pelbagai agama, budaya, bahasa, kaum dan latar belakang. Politik pula sentiasa mempunyai ceritanya sendiri. Kita tidak semestinya bersetuju tentang banyak perkara.

Namun, di sebalik segala perbezaan itu, ada satu perkara yang masih mengikat kita - keinginan untuk melihat Malaysia menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami.

Sepanjang berada di India, saya sempat melihat sendiri bagaimana sesebuah negara dinilai dari kaca mata orang luar. Kita sering membandingkan Malaysia dengan negara lain dari segi pendidikan, pengangkutan awam, pembangunan, pengurusan bencana, kebersihan dan banyak lagi.

Tetapi ada satu perkara yang kadang-kadang kita sendiri terlupa untuk hargai.

Dalam satu perbualan dengan delegasi luar negara, saya secara santai bertanya: “Have you been to Malaysia?” lantas dijawab: “No, but I heard Malaysia is good. Muslim-friendly. And I want to try nasi lemak.”

Ringkas.

Mungkin bagi kita, nasi lemak hanyalah sarapan biasa yang boleh dibeli di kedai makan berhampiran rumah. Tetapi bagi orang yang belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia, ia boleh menjadi satu-satunya perkara yang mereka tahu tentang negara kita.

Dan entah kenapa, perkara kecil seperti itu membuatkan saya bangga.

Kadang-kadang, kita tidak mengenali seseorang itu. Mungkin tidak pernah bertemu. Mungkin datang daripada latar belakang, bahasa atau negara yang sama sekali berbeza.

Tetapi apabila terdengar perkataan “Malaysian”, tiba-tiba ada senyuman kecil, dari kami yang berada di luar negara.

Itulah antara perkara paling indah tentang menjadi rakyat Malaysia.

Kita boleh berdebat tentang politik, makanan, bola sepak, kesesakan lalu lintas, pendidikan, agama dan isu kaum.

Kita boleh bertekak tentang sambal siapa paling pedas. Kita boleh mempertahankan gerai nasi lemak kegemaran kita yang kononnya sudah tidak sesedap dulu.

Kita boleh tidak bersetuju tentang banyak perkara.

Dan itu tidak mengapa.

Kerana Malaysia tidak pernah dibina untuk menjadikan semua rakyatnya sama.

Keindahan Malaysia sejak awalnya terletak pada bahasa yang berbeza, agama yang berbeza, sejarah yang berbeza, makanan yang berbeza, perayaan yang berbeza, kisah keluarga yang berbeza dan cara yang berbeza untuk mengatakan, “saya sayang awak,” dan “apa khabar?”

Namun semua perbezaan itu akhirnya berkongsi satu nama.

Malaysia.

Itulah yang menjadikan kita unik.Bukan kelemahan, tetapi satu keajaiban yang mungkin terlalu biasa sehingga kadang-kadang kita sendiri tidak lagi nampak nilainya.

India mempunyai Taj Mahal, sebuah monumen cinta antara dua insan.

Malaysia mungkin tidak memerlukan satu monumen yang dibina daripada marmar untuk membuktikan rasa cinta kepada tanah air.

Mungkin, Taj Mahal kita adalah Malaysia itu sendiri.

Ia tidak dibina daripada batu marmar, tetapi daripada jutaan perkara kecil yang dilakukan rakyat biasa setiap hari  iaitu mempunyai pekerjaan, menghormati perbezaan, menjaga satu sama lain dan terus memilih untuk hidup bersama walaupun kita tidak sentiasa bersetuju.

Kerana pada akhirnya, mencintai Malaysia bukan bermakna kita perlu bersetuju dalam segala hal.

Mungkin cukup dengan memastikan perbezaan tidak membuatkan kita lupa bahawa kita masih berkongsi rumah yang sama.

Dan suatu hari nanti, apabila rakyat Malaysia berada jauh dari tanah air, saya berharap pasport merah masih mampu membuat seorang asing tersenyum.

“Are you Malaysian?”

Kadang-kadang, ia hanya perlu terasa apabila kita berada jauh daripadanya.

Terus maju Malaysia. Malaysia, tanah tumpahnya darahku.

Selamat Hari Malaysia.


* Yasmin Natasha merupakan wartawan Astro AWANI. Beliau melaporkan isu-isu semasa, politik dan hal ehwal serantau.
* Semua tulisan dan pandangan adalah milik peribadi penulis sepenuhnya dan tidak menggambarkan pendirian rasmi mahupun mewakili sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement