MALAYSIA
[KOLUMNIS] Jiwa merdeka Generasi Alpha: Patriotisme yang disemai dari kehidupan kampus
![[KOLUMNIS] Jiwa merdeka Generasi Alpha: Patriotisme yang disemai dari kehidupan kampus [KOLUMNIS] Jiwa merdeka Generasi Alpha: Patriotisme yang disemai dari kehidupan kampus](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-08/81755311914_TBjalurgemilang.jpg)
Dalam konteks hari ini, patriotisme perlu ditanam dengan lebih mendalam dalam kalangan Generasi Alpha, iaitu generasi muda yang kini mendominasi dunia kampus universiti. - Gambar hiasan
SEMANGAT patriotik atau patriotisme bukan sekadar kibaran bendera di bulan kemerdekaan mahu pun laungan semangat ketika acara rasmi, tetapi ia adalah denyut nadi sebuah bangsa. Ia hidup dalam jiwa, meresap ke dalam setiap tindakan, dan menjadi panduan dalam membina negara. Dalam konteks hari ini, patriotisme perlu ditanam dengan lebih mendalam dalam kalangan Generasi Alpha, iaitu generasi muda yang kini mendominasi dunia kampus universiti. Generasi ini lahir di era digital, diwarnai dengan kecanggihan teknologi dan kepelbagaian maklumat tanpa batas. Justeru, kampus universiti menjadi medan terbaik untuk menyemai semangat patriotik dalam diri mereka, agar kelak mereka bukan sahaja berilmu, tetapi juga memiliki jiwa merdeka yang cintakan tanah air.
Kampus sebagai Tapak Semaian Jiwa Patriotik
Peranan kampus universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi, tetapi merupakan ruang sosial, budaya, dan kebangsaan bagi setiap mahasiswa yang mendiaminya. Di sinilah mahasiswa membentuk identiti, mengasah kepimpinan, dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Kehidupan di kolej kediaman, penglibatan dalam persatuan mahasiswa, serta pendedahan kepada program nasional seperti Program Mahasiswa Negara adalah antara wadah yang subur untuk memupuk nilai patriotisme.
Melalui kehidupan kampus, Generasi Alpha belajar tentang erti berdikari, kepelbagaian budaya, dan semangat setiakawan. Mereka berinteraksi dengan rakan dari pelbagai negeri, agama, dan bangsa, lalu terbentuklah persefahaman yang mencerminkan semangat perpaduan nasional. Inilah nilai yang seharusnya diterjemahkan sebagai patriotisme dalam bentuk kontemporari – bukan hanya mempertahankan kedaulatan negara secara fizikal, tetapi juga menjaga keharmonian sosial yang menjadi teras kemakmuran Malaysia.Generasi Alpha: Dinamika Baharu Mahasiswa
Generasi Alpha sering digambarkan sebagai generasi yang kritikal, celik teknologi, dan lebih terbuka kepada dunia global. Mereka lebih mudah mengakses maklumat dan membandingkan nilai-nilai nasional dengan perkembangan antarabangsa. Walau bagaimanapun, di sebalik keterbukaan itu, timbul persoalan: adakah semangat patriotisme mereka akan terhakis, atau mampu diperteguh melalui pengalaman kampus?
Di sinilah peranan institusi pendidikan tinggi amat penting. Patriotisme untuk Generasi Alpha tidak boleh lagi hanya berbentuk retorik atau slogan kosong. Ia mesti diterjemahkan dalam bentuk pengalaman nyata – contohnya penglibatan mahasiswa dalam program khidmat masyarakat di luar kampus, penyertaan dalam program integrasi nasional, atau aktiviti kesukarelawanan ketika bencana. Generasi Alpha mahukan bukti dan pengalaman, bukan sekadar ucapan di pentas rasmi.
Jiwa Merdeka di Kolej Kediaman
Kehidupan di kolej kediaman boleh diibaratkan sebagai universiti kecil yang mencerminkan masyarakat Malaysia. Di sinilah mahasiswa ditempa dengan nilai kebersamaan, disiplin, dan pengorbanan. Program di kolej seperti sambutan bulan kemerdekaan, debat patriotik, atau aktiviti seni budaya berperanan besar menyuburkan kecintaan terhadap negara.
Lebih daripada itu, jiwa merdeka juga lahir apabila mahasiswa merasai nikmat keamanan yang mereka kecapi hari ini. Dengan hidup dalam suasana aman dan selesa di kampus, mereka harus menyedari pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan. Kesedaran ini boleh dipupuk melalui penceritaan sejarah, perkongsian pengalaman veteran negara, serta aktiviti lawatan ke lokasi bersejarah. Generasi Alpha yang menghargai sejarah akan lebih mudah membentuk identiti patriotik dalam dirinya.
Patriotisme dan Kepimpinan Mahasiswa
Patriotisme bukan hanya soal cinta negara, tetapi juga soal tanggungjawab. Mahasiswa Generasi Alpha yang berada di kampus perlu mempraktikkan nilai patriotik melalui kepimpinan. Sama ada mereka memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar, jawatankuasa perwakilan kolej kediaman, persatuan atau kelab Kebajikan. Setiap tanggungjawab itu adalah latihan kecil untuk mereka menguruskan negara pada masa hadapan.
Apabila mahasiswa memimpin dengan adil, mengutamakan kepentingan bersama, dan menolak perpecahan, mereka sebenarnya sedang menghayati patriotisme. Kepimpinan berteraskan nilai inilah yang akan melahirkan generasi pemimpin negara yang berjiwa rakyat, progresif, dan mempunyai integriti tinggi.
Cabaran Patriotisme dalam Era Globalisasi
Namun begitu, kita tidak boleh menafikan cabaran besar yang dihadapi dalam memupuk semangat patriotisme di kalangan Generasi Alpha. Dunia global tanpa sempadan sering kali memperlihatkan gaya hidup dan budaya luar yang lebih dominan. Nilai komersial, hiburan, serta fahaman individualistik mudah mempengaruhi minda mahasiswa. Jika tidak dikawal, ia boleh menghakis jati diri nasional.
Di sinilah kampus dan kolej kediaman perlu menjadi benteng terakhir dalam memastikan patriotisme tidak terpinggir. Aktiviti yang kreatif, kontemporari, dan dekat dengan jiwa Generasi Alpha harus digerakkan. Misalnya, pertandingan kreatif mencipta lagu patriotik digital, video pendek bertema kemerdekaan di platform media sosial, atau program inovasi komuniti yang mengangkat nilai kebangsaan. Patriotisme mesti dibawa ke dunia digital agar seiring dengan gaya hidup generasi ini.
Jiwa Merdeka Mahasiswa, Harapan Negara
Patriotisme yang semakin pudar, tidak boleh dianggap sebagai isu remeh, sebaliknya ia perlu ditangani dengan tuntas bagi menjamin kelangsungan sebuah bangsa. Pemantapan Program Mahasiswa Negara di dalam kampus dan kolej kediaman menjadi ladang terbaik untuk menyemai semangat ini, khususnya dalam diri Generasi Alpha yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.
Jiwa merdeka mahasiswa bukan hanya diukur daripada ucapan dan simbol, tetapi melalui pengalaman kehidupan kampus yang penuh dengan kepelbagaian, kepimpinan, dan pengorbanan. Jika semangat patriotik ini berjaya dipupuk, maka lahirlah generasi muda yang bukan sahaja bijak menguasai ilmu, tetapi juga teguh mempertahankan kedaulatan negara.
Tidak dapat dinafikan kemenjadian Generasi Alpha di kampus hari ini adalah harapan Malaysia untuk hari esok. Mereka harus sedar bahawa di bahu merekalah terletak kesinambungan perjuangan bangsa – perjuangan yang tidak lagi mengangkat senjata, tetapi perjuangan mengekalkan keharmonian, membina perpaduan, dan memastikan Malaysia terus berdiri megah di pentas dunia.
* Penulis ialah Timbalan Pengarah Dalam Kampus, Kolej Kediaman, Universiti Malaysia Terengganu
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami