RAMAI yang kagum dengan stamina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terus menggalas jadual kerja maraton merangkumi diplomasi, ekonomi, tenaga, pendidikan dan pelaburan, sambil pada masa yang sama berdepan gelombang politik domestik yang tidak pernah surut.
Dalam tempoh yang sangat ringkas, Perdana Menteri bergerak dari satu medan ke satu medan. Lawatan ke Rusia minggu lalu umpamanya melibatkan jadual padat pertemuan dengan pimpinan negara ASEAN dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang disusuli pertemuan dua hala Malaysia-Rusia serta pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin.
Dalam keadaan konflik geopolitik, ketegangan ekonomi, gangguan rantaian bekalan, kekurangan tenaga dan tekanan harga global, jaminan bekalan minyak, gas dan diesel bukan perkara kecil. Sebab itu, apabila Malaysia mendapatkan jaminan bekalan tenaga jangka panjang daripada Rusia, ia wajar dilihat sebagai langkah strategik untuk melindungi rakyat daripada risiko kekurangan tenaga pada masa depan.
Namun diplomasi Perdana Menteri tidak berhenti pada soal tenaga. Dalam pertemuan tersebut, ruang pendidikan dan pembangunan bakat turut diberi perhatian. Bidang seperti sains angkasa, peralatan ketenteraan, pendigitalan, kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum adalah bidang masa depan yang akan menentukan kedudukan sesebuah negara dalam dekad akan datang.
Menariknya, pengiktirafan terhadap Malaysia hari ini turut terserlah dalam peristiwa transit di Uzbekistan. Kebiasaannya, transit pesawat hanyalah persinggahan teknikal untuk mengisi minyak dan berehat sebentar. Namun apabila Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev, sendiri menyambut rombongan Malaysia di lapangan terbang dan menyediakan ruang hampir rasmi untuk mesyuarat dua hala, ia memberi isyarat bahawa kedudukan Malaysia semakin dihormati.
Selepas Rusia dan Uzbekistan, tumpuan beralih pula ke Turkmenistan. Di sinilah satu lagi perkembangan besar berlaku apabila Malaysia, melalui hubungan kukuh Petronas yang telah lama bertapak di negara tersebut, memperoleh ruang baharu dalam sektor gas.
Keputusan Turkmenistan memberikan kelulusan kepada Malaysia untuk mendapatkan dua telaga gas terbesar, bersama tambahan yang memperkukuh kedudukan Petronas, adalah perkembangan strategik yang sangat signifikan. Dalam keadaan seluruh dunia berebut sumber tenaga, kejayaan mendapatkan akses besar kepada bekalan gas adalah kemenangan ekonomi dan geopolitik yang tidak boleh dipandang kecil.
Apa yang lebih penting, semua ini berlaku ketika dunia sedang berdepan kegawatan tenaga. Banyak negara kaya dan kuasa besar sedang mencari jaminan bekalan. Maka, langkah Malaysia memperkukuh hubungan dengan negara pengeluar tenaga bukan sekadar keputusan perniagaan, tetapi strategi keselamatan negara.
Di sebalik semua urusan antarabangsa itu, jadual domestik Perdana Menteri pula tidak kurang padat. Pulang sekitar jam 3.30 pagi di Pulau Pinang, meneruskan program, kemudian bergerak pula ke Seremban dan tiba hampir jam 7 malam untuk menghadiri program bersama rakyat dan pendukung perjuangan. Jadual sebegini menuntut stamina luar biasa, bukan sahaja fizikal tetapi juga mental.
Sehubungan itu, ada yang sering menasihatkan pemimpin supaya lebih tenang. Nasihat itu tidak salah dalam konteks tertentu. Seorang pemimpin memang perlu rasional dan terkawal. Namun ada keadaan di mana terlalu tenang juga boleh menjadi masalah. Apabila ada keluarga berhempas-pulas membina kehidupan maka pemimpin tidak boleh sekadar tersenyum tenang seolah-olah semuanya baik-baik sahaja.
Lebih-lebih lagi apabila negara masih dibayangi budaya lama seperti perebutan kuasa, amalan mengaut kekayaan, sakau projek, mengambil tanah, membolot balak, mengumpul harta di dalam dan luar negara. Dalam keadaan begini, seorang pemimpin yang tenang ketika melihat ketidakadilan mungkin sebenarnya telah kehilangan deria nurani.
Perdana Menteri sering kelihatan tegas apabila menyentuh soal rasuah dan salah guna kuasa. Ketegasan ini lahir daripada kesedaran bahawa walaupun Malaysia sudah merdeka hampir 70 tahun tetapi ia masih berdepan kesan panjang budaya politik lama. Ada rakyat yang masih bergelut dengan kehidupan asas sedangkan sebahagian elit politik lama hidup dengan kekayaan luar biasa.
Kesibukan Perdana Menteri juga harus difahami dalam kerangka ini. Lawatan ke luar negara bukan pelancongan politik. Rundingan tenaga bukan acara diplomatik kosong. Pertemuan dengan pemimpin dunia bukan sekadar untuk bergambar kenangan. Ia adalah sebahagian daripada usaha memastikan Malaysia mempunyai bekalan tenaga, akses pendidikan masa depan, hubungan antarabangsa yang seimbang dan kedudukan ekonomi yang lebih kukuh.
Pada masa sama, kehadiran beliau dalam program-program rakyat menunjukkan bahawa diplomasi antarabangsa tidak memutuskan hubungan dengan akar domestik. Seorang Perdana Menteri perlu bergerak di dua dunia serentak, iaitu dunia geopolitik global dan dunia keresahan rakyat tempatan.
Maka, apabila ada yang bertanya mengapa Perdana Menteri tidak boleh “bertenang”, jawapannya mudah, iaitu kerana negara belum cukup selamat untuk pemimpin berpeluk tubuh. Rakyat masih bergelut. Tenaga perlu dijamin. Anak muda perlu disediakan untuk bidang masa depan. Rasuah perlu diperangi. Politik lama masih cuba bertahan. Dalam keadaan sebegini, ketenangan yang berlebihan boleh berubah menjadi kelalaian.
Sebenarnya apa yang diperlukan ialah pemimpin yang tahu bila masanya perlu bertenang dan bila masanya perlu bertegas. Ada masa untuk berunding dengan kuasa besar dunia secara diplomatik, ada masa untuk menyantuni rakyat dengan lembut, tetapi ada juga masa untuk meninggikan suara terhadap kebobrokan.
Ringkasnya, pemimpin boleh dinilai melalui ucapan, tetapi lebih penting melalui arah gerak dan keutamaan tindakannya. Dalam keadaan negara memerlukan tenaga, pelaburan, integriti dan keberanian moral, seorang Perdana Menteri tidak boleh terlalu “tenang” kerana untuk menyelamatkan negara seorang pemimpin perlu resah, perlu gelisah dan perlu marah terhadap perkara yang merosakkan rakyat.
*Artikel ini ditulis oleh Nurulaini Zamhury, Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Sungai Petani, Kedah.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.