"Setiap kali pilihan raya, kita terlalu sibuk bertanya siapa yang akan menang. Jarang sekali kita bertanya, apakah nilai yang sedang kita pilih untuk menang."
Mungkin di situlah persoalan paling penting yang jarang kita fikirkan dalam demokrasi. Setiap kali musim pilihan raya tiba, perhatian kita tertumpu kepada parti yang bertanding, calon yang dicalonkan, tawaran dan janji yang dibentangkan, jumlah kerusi yang dipertaruhkan dan kemungkinan pembentukan kerajaan.
Ya, betul, semua itu penting. Namun, jika demokrasi hanya difahami sebagai pertandingan untuk menentukan siapa yang memerintah, kita mungkin sebenarnya sedang melihat demokrasi dalam kerangka yang terlalu kecil.
Pandangan kami, pilihan raya bukan sekadar penentuan 'siapa' dan 'apa'. Pilihan raya juga menentukan bagaimana kepimpinan akan dinilai, apakah nilai yang sedang disemai, dibajai dan dihargai oleh masyarakat dan budaya demokrasi seperti apa yang akan diwarisi serta dituai oleh generasi akan datang.
Pasca Undi 18, demografi politik moden Malaysia berubah 360 darjah, golongan muda membentuk kumpulan pengundi terbesar dalam hampir kebanyakan pilihan raya, di setiap saluran mengundi, di setiap daerah mengundi. Ini bukan sekadar perubahan statistik. Ia merupakan titik perubahan yang meletakkan satu generasi sebagai penentu arah masa depan negara.
Namun persoalan yang lebih besar bukanlah sama ada anak muda mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan pilihan raya. Persoalannya ialah, adakah mereka bersedia menggunakan kuasa itu untuk mengubah cara kita memahami politik? Kita sering mengharapkan politik yang lebih bersih, kepimpinan yang lebih berintegriti dan pentadbiran yang lebih berkesan. Aspirasi itu wajar. Tetapi perubahan tidak berlaku hanya dengan bertukar warna parti atau bertukar pemimpin. Perubahan sebenar bermula apabila rakyat mengubah cara mereka membuat pilihan.
Politik baharu tidak bermula dengan parti baharu. Politik baharu bermula apabila lahir generasi yang membuat pilihan dengan cara yang baharu.
Dalam sebuah demokrasi, rakyat bukan sekadar memilih pemimpin. Rakyat sebenarnya sedang membentuk tingkah laku pemimpin. Apa yang dihargai oleh rakyat hari ini akan menjadi insentif kepada kepimpinan pada masa hadapan. Jika integriti, kecekapan dan prestasi menjadi asas pertimbangan, lebih ramai pemimpin akan berusaha memenuhi nilai tersebut. Sebaliknya, jika sensasi, kebencian, retorik kosong dan populariti terus diberi ganjaran, jangan terkejut apabila budaya itu terus mendominasi ruang demokrasi awam.
Demokrasi akhirnya bukan sahaja menghasilkan kerajaan yang dipilih rakyat. Demokrasi juga menghasilkan budaya politik yang dibentuk oleh pilihan rakyat. Di sinilah letaknya tanggungjawab generasi muda. Mereka bukan lagi sekadar pemimpin masa depan. Kita ialah pembentuk budaya demokrasi masa kini.
Cabaran kita juga jauh berbeza daripada generasi terdahulu. Jika dahulu cabarannya ialah mendapatkan maklumat, hari ini cabarannya ialah menapis maklumat. Dalam dunia yang dipenuhi kandungan media sosial, perhatian sering diberikan kepada apa yang paling pantas tular, bukannya kepada apa yang paling bernilai untuk difahami. Kita semakin pantas membuat penilaian terhadap isu yang sebenarnya memerlukan penelitian, konteks dan pemikiran yang lebih mendalam.
Oleh sebab itu, Malaysia memerlukan satu bentuk literasi politik baharu. Literasi politik bukan sekadar mengetahui nama parti, mengikuti perkembangan semasa atau menghafal manifesto. Literasi politik ialah keupayaan menilai dasar secara rasional, membezakan fakta daripada propaganda, memahami implikasi sesuatu keputusan terhadap rakyat, serta berani mengubah pendirian apabila berdepan hujah dan bukti yang lebih kukuh. Lebih penting lagi, ia adalah kesediaan untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi sentimen dan masa depan bersama mengatasi kemenangan jangka pendek.
Inilah asas kepada budaya demokrasi yang matang. Malaysia tidak memerlukan lebih ramai anak muda yang sekadar mengambil bahagian dalam pilihan raya. Malaysia memerlukan lebih ramai anak muda yang berfikir secara kritis, berdialog secara beradab, menghormati perbezaan pandangan dan berani membuat pilihan berdasarkan prinsip, bukan sekadar persepsi.
Kerana masa depan negara tidak hanya ditentukan oleh siapa yang memenangi pilihan raya. Ia ditentukan oleh bagaimana rakyat memilih untuk menilai kepimpinan. Maka apabila tiba hari mengundi nanti, keluarlah sebagai warganegara yang sedar akan tanggungjawabnya.
Suatu hari nanti, keputusan setiap pilihan raya akan menjadi sejarah. Nama parti yang menang mungkin berubah. Wajah pemimpin juga akan silih berganti. Namun yang akan kekal lebih lama ialah budaya demokrasi yang kita bina melalui setiap pilihan yang kita buat. Akhirnya, masa depan negara tidak ditentukan oleh siapa yang memenangi pilihan raya. Masa depan negara ditentukan oleh nilai yang dipilih oleh rakyat untuk dimenangkan.
Dan mungkin sudah tiba masanya, khususnya bagi generasi muda, kita berhenti bertanya "Siapa yang akan menang?" Sebaliknya mula bertanya "Apakah Malaysia yang sedang kita bina melalui pilihan kita hari ini?"
* M Syafiq Ridzwan Jamaluddin merupakan Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia dan Timbalan Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Langat
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.