MALAYSIA
[KOLUMNIS] Rangka dasar holistik tangani tragedi kemalangan
![[KOLUMNIS] Rangka dasar holistik tangani tragedi kemalangan [KOLUMNIS] Rangka dasar holistik tangani tragedi kemalangan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/71749504859_lokasikejadiankema.jpg)
Pada ketika ini kita tidak dapat menyatakan dengan pasti apakah punca dan corak utama kemalangan di negara ini kerana kita masih belum melihat sebarang laporan yang diterbitkan mengenai analisis kemalangan secara terperinci. - Gambar hiasan
RAKYAT Malaysia telah menyaksikan terlalu banyak kemalangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakannya mengakibatkan banyak nyawa terkorban.
Situasi ini sememangnya memerlukan lebih banyak tindakan holistik untuk menangani punca kematian akibat kemalangan.
Pastinya kita akan mengaitkan keadaan itu dengan beberapa faktor seperti keadaan jalan raya yang teruk, standard pemanduan yang lemah dalam kalangan rakyat Malaysia dan kurangnya disiplin dan etika pemanduan serta sikap tidak sabar dalam kalangan pengguna yang turut merupakan antara penyebab.
Faktor-faktor lain juga boleh disenaraikan, seperti keadaan kenderaan yang digunakan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang tidak menyeluruh.Sejak kebelakangan ini banyak kemalangan yang berlaku melibatkan lori dan bas yang mengakibatkan penumpang maut.
Orang ramai telah menzahirkan kebimbangan mereka ekoran begitu banyak kemalangan.
Namun kemalangan terus berlaku melibatkan lori dan bas. Adakah kehidupan dan nyawa sudah begitu murah pada hari ini?
Hakikatnya, jumlah terbesar kemalangan, setiap tahun, melibatkan skuter atau kenderaan dua roda.
Mereka kelihatan cuai dalam tabiat menunggang kerana kita melihat bagaimana mereka mengendalikan kenderaan semasa kesesakan lalu lintas.
Mereka juga tidak mahu menggunakan lorong khas untuk mereka selain lebuh raya seperti Lebuh Raya Persekutuan dari Kuala Lumpur ke Klang. Ia sebenarnya merupakan soal tidak disiplin.
Apatah lagi tindakan kumpulan ‘Mat Rempit’ yang seringkali kita lihat di sepanjang lebuh raya, yang memperlihatkan aksi berani akrobatik mereka ketika berada di atas motsikal mereka.
Pada ketika ini kita tidak dapat menyatakan dengan pasti apakah punca dan corak utama kemalangan di negara ini kerana kita masih belum melihat sebarang laporan yang diterbitkan mengenai analisis kemalangan secara terperinci. Mungkin ada, tetapi ia kekal dalam fail.
Bagaimanakah dasar awam yang berkesan boleh dibentuk untuk membendung kemalangan dengan ketara.
Pihak berkuasa, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan, harus memperincikan dalam laporan awam mengenai kemalangan supaya orang ramai mengetahui tahap masalah dan bahaya yang dihadapi oleh masyarakat memandangkan kemalangan mungkin berlaku disebabkan oleh faktor-faktor seperti perancangan jalan yang tidak baik atau penyelenggaraan jalan yang kurang bermutu.
Setelah menerangkan isu-isu di atas, mungkin kini kta boleh mempertimbangkan beberapa cadangan untuk mengurangkan kemalangan dengan ketara.
Langkah pertama berkait dengan pemandu. Pemandu mesti cergas untuk memandu jika melbatkan perjalanan jarak jauh dan mereka mesti diperiksa secara perubatan untuk memastikan kecergasan bagi pemanduan jarak jauh dan memandu lewat malam.
Perlu ada pemandu ganti untuk jarak jauh bagi membolehkan pemandu mempunyai rehat yang cukup, terutama untuk perjalanan jarak jauh.
Pemandu mesti melalui pemeriksaan dadah untuk memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah semasa memandu.
Kedua, berkaitan dengan tahap kesesuaian kenderaan, lori atau bas untuk digunakan. Ini bagi memastikan kenderaan kerap diservis dan bahagian penting seperti tayar dan brek berada dalam keadaan baik untuk pemanduan jarak jauh.
Pihak pengurusan, malah ahli lembaga pengarah syarikat pengangkutan perlu memberi jaminan bahawa syarikat masing-masing mempunyai sistem penyelenggaraan bas dan lori yang ketat untuk dipatuhi, jika gagal, kenderaan terbabit tidak sepatutnya dibenarkan berada di jalan raya dan lebuh raya.
Ia sepatutnya menjadi sebahagian daripada dasar dan budaya syarikat pengangkutan mengenai keselamatan jalan raya.
Jabatan Pengangkutan Jalan bukan sahaja wajar memberi tumpuan terhadap kemahiran baik apabila memandu, tetapi juga ke atas aspek-aspek lain seperti memahami pemanduan defensif dan etika pemanduan yang baik.
Pemandu-pemandu Malaysia kadangkala menunjukkan sikap yang tidak beretika di jalan raya, walaupun mereka mungkin berperibadi lebih tinggi dalam konteks atau di tempat lain.
Oleh itu, etika pemanduan yang baik mesti dititikberatkan dalam pembelajaran dan ketika ujian memandu. Jangan-jangan kita menjadi raksasa di jalan raya.
Perkara yang ingin ditekankan di sini ialah agar pihak berkuasa tidak hanya menumpukan ke atas aspek kecekapan teknikal dalam pemanduan, tetapi juga dalam soal tingkah laku dan budaya pemanduan yang baik.
Mungkin ada aspek-aspek lain yang boleh dipertimbangkan, tetapi ia boleh difikirkan hanya jika terdapat laporan terperinci tentang kemalangan jalan raya yang didedahkan kepada umum.
Kita pasti banyak badan bukan kerajaan prihatin dengan tragedi kemalangan dan akibatnya yang serius. Ia bukan hanya soal statistik tentang kemalangan, tetapi mempunyai implikasi yang mendalam terhadap undang-undang, kecekapan pemanduan, reka bentuk jalan raya dan lebuh raya, dan budaya kita secara keseluruhannya berkenaan dengan memberi perhatian kepada keselamatan dalam pemanduan.
Dalam perkara yang terakhir ini kita sering melihat pemandu Malaysia tidak menggunakan tali pinggang keselamatan, manakala bayi dan anak-anak mereka tidak berada di tempat duduk kanak-kanak, menunjukkan sikap marah dan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemandu-pemandu lain.
Perlu juga dikatakan bahawa terdapat peningkatan kes memandu dalam keadaan mabuk (DWI), terutamanya dalam kes kemalangan lewat malam atau waktu pagi.
Sememangnya, pihak berkuasa mempunyai kewajipan untuk terus memberi peringatan kepada rakyat tentang bahaya dan akibat kecuaian ketika memandu ke atas masyarakat. Jangan kita lupa, kehilangan nyawa terutama orang tersayang akibat kemalangan adalah salah satu daripada impak yang amat mendalam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami