ISU hubungan seksual antara remaja bukan perkara mudah. Undang-undang perlu tegas melindungi kanak-kanak daripada paksaan, manipulasi dan eksploitasi seksual.
Namun pada masa sama, timbul satu persoalan: Adakah hubungan suka sama suka di antara dua orang muda yang hampir sebaya wajar dilihat sama seperti kes melibatkan pemangsa seksual yang mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak?
Persoalan inilah yang membawa kepada perbincangan mengenai apa yang dikenali sebagai klausa “Romeo and Juliet”.
Nama “Romeo and Juliet” diambil daripada kisah cinta dua orang muda dalam karya terkenal William Shakespeare.
Dalam undang-undang moden, istilah ini digunakan secara umum bagi menggambarkan pengecualian untuk hubungan seksual suka sama suka antara dua orang muda yang hampir sebaya.
Ia juga dikenali sebagai 'close-in-age exception' atau, dalam sesetengah perbincangan, 'Sweetheart Defence'.
Tujuannya bukan untuk menghalalkan seks bawah umur secara umum. Sebaliknya, konsep ini cuba membezakan hubungan antara dua orang muda yang hampir sebaya daripada kes yang melibatkan paksaan, 'grooming', manipulasi atau eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
Syaratnya berbeza mengikut negara. Lazimnya undang-undang akan mengambil kira umur kedua-dua pihak, jurang umur serta sama ada hubungan itu benar-benar berlaku secara sukarela.
Mahkamah Tinggi Kuantan dalam kes Muhammad Isyarizal Izman vs PP turut membincangkan konsep ini secara khusus.
Mahkamah menjelaskan bahawa konsep “Romeo and Juliet” secara umum cuba membezakan hubungan suka sama suka antara orang muda yang hampir sebaya daripada perlakuan seksual yang bersifat pemangsaan atau eksploitasi.
Negara lain sudah menggunakan pendekatan ini. Konsep ini bukan sesuatu yang baharu. Kanada, misalnya, mempunyai pengecualian 'close-in-age' yang jelas dalam undang-undang jenayahnya.
Secara umum, umur persetujuan seksual di Kanada ialah 16 tahun. Namun, bagi remaja berumur 14 atau 15 tahun, undang-undang menyediakan pembelaan tertentu jika pasangannya kurang daripada lima tahun lebih tua, dengan syarat hubungan itu bukan hubungan bersandarkan kepada kuasa, kebergantungan atau eksploitasi.
Pendekatan hampir sama turut wujud di beberapa negeri di Amerika Syarikat. Texas, sebagai contoh, mempunyai pembelaan tertentu apabila mangsa berumur sekurang-kurangnya 14 tahun dan tertuduh tidak lebih daripada tiga tahun lebih tua, tertakluk kepada syarat-syarat lain dalam undang-undang negeri itu.
Ini menunjukkan satu perkara penting. Klausa “Romeo and Juliet” bukan bermaksud semua hubungan seks bawah umur dibenarkan. Ia merupakan pengecualian yang terhad dan tertakluk kepada syarat ketat.
Bagaimana pula di Malaysia?
Malaysia belum mempunyai klausa “Romeo and Juliet”. Di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan, persetubuhan dengan seorang perempuan bawah 16 tahun merupakan rogol walaupun dilakukan dengan persetujuannya.
Maksudnya mudah. Jika perempuan itu bawah 16 tahun, alasan seperti “kami bercinta” atau “kami sama-sama suka” tidak dengan sendirinya menjadi pembelaan.
Persetujuan secara fakta tidak sama dengan persetujuan yang diiktiraf oleh undang-undang.
Mahkamah Tinggi Kuantan turut menegaskan perkara ini. Malaysia belum mempunyai 'Sweetheart Defence', 'Klausa Romeo and Juliet' atau pengecualian 'close-in-age'.
Hubungan romantik dan persetujuan faktual seorang perempuan bawah 16 tahun tidak menghapuskan liabiliti jenayah.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan itu menarik kerana fakta kes hampir dengan persoalan yang sedang dibincangkan.
Kes tersebut melibatkan seorang lelaki berumur 19 tahun dan seorang pelajar perempuan berumur kira-kira 15 tahun.
Mereka mengenali antara satu sama lain, bertukar nombor telefon dan berhubung melalui WhatsApp. Pelajar tersebut juga mengakui bahawa dia menyukai lelaki berkenaan.
Mahkamah mengambil kira bahawa beberapa kejadian seksual terdahulu berlaku secara sukarela dari sudut fakta. Namun, terdapat satu perbezaan penting.
Dalam kejadian terakhir, pelajar itu menyatakan bahawa dia tidak mahu meneruskan hubungan seksual dan mahu pulang. Lelaki tersebut tetap meneruskannya.
Kejadian itu terbongkar selepas pihak sekolah merampas telefon mangsa dan menemui komunikasi antara mangsa dan tertuduh.
Pihak sekolah kemudiannya telah memaklumkan ibu bapa mangsa. Laporan polis telah dibuat lebih daripada sebulan selepas kejadian tersebut atas desakan ibu bapa mangsa.
Mahkamah melihat keadaan itu sebagai faktor yang meningkatkan tahap keseriusan perbuatannya. Ini menunjukkan bahawa hubungan cinta bukan lesen untuk seks. Persetujuan pada satu masa juga bukan persetujuan untuk selama-lamanya.
Menariknya, isu seperti ini sebenarnya telah dibahaskan di Parlimen semasa pindaan hukuman bagi seksyen 376 Kanun Keseksaan dengan membuang hukuman minima lima tahun dan mengekalkan hukuman penjara maksima 20 tahun.
Mahkamah Tinggi Kuantan merujuk kepada perbahasan Parlimen ketika pindaan tersebut dibuat. Dalam perbahasan itu, contoh hubungan “girl friend boy friend” dan “suka sama suka” antara perempuan bawah 16 tahun dengan lelaki muda telah disebut dan Parlimen telah menyerahkan hukuman kepada budi bicara penuh mahkamah.
Tujuan pindaan ketika itu ialah memberikan lebih ruang kepada hakim menentukan hukuman berdasarkan fakta dan keadaan sebenar sesuatu kes.
Tetapi Parlimen tidak mewujudkan pengecualian “Romeo and Juliet”. Kesalahan tetap kekal. Yang diberikan ialah ruang yang lebih luas kepada hakim dalam menentukan hukuman yang sesuai.
Satu lagi kes yang penting ialah Nor Afizal bin Azizan v Public Prosecutor [2012] 6 MLJ 171. Dalam kes tersebut, pesalah berumur 19 tahun manakala pengadu berumur 13 tahun empat bulan.
Hubungan seksual itu berlaku secara suka sama suka dari sudut fakta. Pesalah juga menyerah diri kepada polis, mengaku salah dan menunjukkan penyesalan.
Mahkamah ketika itu mengambil kira usia pesalah, keadaan hubungan, ketiadaan keganasan atau paksaan serta peluang untuk memulihkannya.
Pesalah akhirnya diberi bon berkelakuan baik di bawah seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah. Tetapi undang-undang sudah berubah sejak keputusan Nor Afizal.
Selepas pindaan undang-undang pada 2016, seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak lagi boleh digunakan bagi kesalahan yang termasuk dalam kategori kesalahan serius, seperti rogol.
Mahkamah Tinggi Kuantan sendiri mengakui perubahan ini. Bentuk pelupusan melalui bon seperti yang digunakan dalam Nor Afizal tidak lagi tersedia dalam keadaan tersebut.
Oleh itu, Nor Afizal tidak boleh dibaca sebagai bermaksud seseorang yang melakukan rogol statutori hari ini masih boleh diberikan bon di bawah Seksyen 294 atas alasan hubungan itu suka sama suka.
Jalan itu sudah ditutup oleh pindaan undang-undang. Namun, hakim masih boleh mengambil kira umur kedua-dua pihak, jurang umur, keadaan hubungan dan tahap keseriusan perbuatan apabila menentukan hukuman yang sesuai.
Dalam kes Mahkamah Tinggi Kuantan, lelaki tersebut pada asalnya dihukum penjara lima tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan. Mahkamah Tinggi kemudian mengurangkan hukuman.
Bagi pertuduhan pertama, hukuman menjadi enam bulan penjara dan satu sebatan. Bagi pertuduhan kedua, hukuman menjadi satu tahun penjara dan satu sebatan. Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak.
Namun, perkara paling penting ialah sabitan bagi kedua-dua pertuduhan kekal. Mahkamah tidak mengatakan bahawa hubungan “suka sama suka” menghapuskan kesalahan.
Sebaliknya, Mahkamah membezakan antara dua perkara: sama ada seseorang melakukan kesalahan dan apakah hukuman yang sesuai selepas dia disabitkan.
Undang-undang mesti terus tegas terhadap mereka yang melakukan grooming, memaksa, memperdaya atau mengeksploitasi kanak-kanak.
Seorang pemangsa seksual tidak boleh dibenarkan menggunakan alasan “dia suka saya” untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.
Tetapi adakah keadaan yang sama patut dikenakan kepada dua orang muda yang hampir sebaya, misalnya seorang berumur 15 tahun dan seorang lagi 17 tahun, apabila hubungan itu benar-benar suka sama suka dan tidak melibatkan paksaan atau eksploitasi? Itulah persoalan sebenar di sebalik klausa “Romeo and Juliet”.
Lebih dekat dengan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madras dalam kes Vijaylakshmi & Anr. v. State, memberi pertimbangan terhadap usia dan remaja yang menjalinkan hubungan seksual secara suka sama dengan menyatakan seperti berikut:
“An adolescent boy and girl who are in the grips of their hormones and biological changes and whose decision-making ability is yet to fully develop, should essentially receive the support and guidance of their parents and the society at large. These incidents should never be perceived from an adult's point of view and such an understanding will in fact lead to lack of empathy. An adolescent boy who is sent to prison in a case of this nature will be persecuted throughout his life.”
Jika Malaysia mahu mempertimbangkan klausa tersebut, syaratnya perlu ketat. Parlimen perlu menetapkan umur minimum, jurang umur maksimum dan perlindungan terhadap paksaan, grooming, manipulasi serta eksploitasi.
Pengecualian juga tidak sepatutnya terpakai jika pihak yang lebih tua mempunyai kedudukan kuasa atau kepercayaan terhadap pihak yang lebih muda, seperti guru, jurulatih atau penjaga.
Dengan cara itu, perlindungan terhadap kanak-kanak tidak dikurangkan. Sebaliknya, undang-undang menjadi lebih tepat dalam membezakan hubungan remaja yang hampir sebaya daripada pemangsaan seksual.
Akhirnya, keputusan di tangan Parlimen. Mahkamah Tinggi Kuantan telah menjelaskan bahawa Malaysia belum mempunyai klausa “Romeo and Juliet”. Mahkamah tidak boleh mencipta sendiri pembelaan tersebut.
Tambahan pula, selepas pindaan 2016, bon di bawah seksyen 294 seperti yang pernah digunakan dalam Nor Afizal sudah tidak tersedia bagi kesalahan serius.
Mahkamah masih boleh mengambil kira keadaan sesuatu kes ketika menjatuhkan hukuman. Tetapi jika Malaysia mahu pergi lebih jauh dengan mewujudkan pengecualian 'close-in-age' pada peringkat menentukan kesalahan, perubahan itu perlu dibuat oleh Parlimen.
Perbahasan mengenai “Romeo and Juliet” bukan bermaksud kita mahu menghalalkan seks bawah umur.
Persoalannya lebih mudah, bolehkah undang-undang terus melindungi kanak-kanak dengan tegas, tetapi pada masa yang sama membezakan antara hubungan dua remaja yang hampir sebaya dengan perbuatan seorang pemangsa seksual?
Pada Disember 2016, Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa sesebuah negara perlu mengambil kira keperluan untuk mengimbangi aspek perlindungan selari dengan keupayaan remaja masa kini yang telah berubah dan berkembang.
“States parties should take into account the need to balance protection and evolving capacities, and define an acceptable minimum age when determining the legal age for sexual consent. States should avoid criminalizing adolescents of similar ages for factually consensual and non-exploitative sexual activity.”
Malaysia kini perlu menentukan sama ada pendekatan yang sama wajar dipertimbangkan di negara ini.
Dir Kheizwan Kamaruddin ialah peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya beramal di Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohammad Radzi & Partners dan Luqman Mazlan ialah peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya yang beramal di Tetuan Ahmad Danial Iswatt & Luqman (Adillegal.my).
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.