PADA 19 September 2026, ribuan pelajar baharu Tahun Satu akan melangkah masuk ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), diiringi ibu bapa yang membawa beg pakaian dan harapan yang tinggi. Bagi kebanyakan pelajar, hari itu seperti rutin biasa, bermula dengan urusan mendaftar, mengisi borang, mengambil kad pelajar, dan mencari bilik asrama. Namun bagi warga UKM, hari itu membawa makna yang jauh lebih besar, kerana merekalah generasi yang akan mewarisi dan memimpin Malaysia menjelang 2057, apabila negara menyambut 100 tahun kemerdekaan. Jika rakyat Malaysia mengenali Gen Y, Gen Z dan Gen Alpha, kohort inilah yang layak digelar Gen57, generasi yang akan membesar bersama Malaysia menuju satu abad kemerdekaan. Ramai antara mereka bakal menjadi menteri, saintis, usahawan dan pemimpin masyarakat pada masa itu. Justeru, persoalan yang perlu kita renungi bukanlah sekadar bagaimana menyambut mereka, tetapi bagaimana kita mempersiapkan mereka untuk tanggungjawab yang sebesar itu.
Persoalan inilah yang bergema dalam Konvensyen Pendidikan Melayu di World Trade Centre, Kuala Lumpur, pada 8 September 2026. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, mencabar sektor pendidikan tinggi negara supaya melakukan anjakan paradigma bagi mempersiapkan Malaysia menjelang detik bersejarah itu.
Kejayaan sesebuah universiti tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui bilangan graduan atau sijil yang dianugerahkan. Ukuran sebenar terletak pada daya tahan institusi, kualiti pendidikan yang ditawarkan, kemahiran dan kompetensi yang dibina, keupayaan menyelesaikan masalah sebenar, serta kebolehan melahirkan usahawan, pencipta teknologi dan generasi yang mampu bersaing di peringkat global.
Cabaran ini menuntut kita meninjau semula cara universiti memainkan peranan dalam pembangunan negara.
Belajar daripada sejarah, merancang masa hadapan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjawab cabaran ini melalui Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026 hingga 2030. Ia bukan sekadar pelan lima tahun, tetapi kerangka yang meletakkan generasi pelajar hari ini dalam perjalanan negara menuju satu abad kemerdekaan.
Sejarah memberi kita akar; masa hadapan memerlukan arah. Justeru, antara langkah awal pentadbiran UKM kini ialah membina hala tuju strategik yang berpijak pada sejarah tetapi berorientasikan masa hadapan, selari dengan wawasan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam ucapan sulung beliau sebagai Canselor Pertama UKM di Bangunan Parlimen pada Jun 1973.
Semangat ini turut termaktub dalam Perintah (Perbadanan) Universiti Kebangsaan Malaysia 1971, yang menggariskan peranan UKM dalam pengembangan ilmu, penyelidikan dan penyebaran pengetahuan, khususnya dalam sains dan teknologi. Atas landasan itu, UKM akan terus memperkukuh tumpuan strategik terhadap sains dan teknologi, termasuk bidang-bidang ilmu yang semakin kritikal bagi masa depan negara, namun tanpa mengetepikan ilmu kemanusiaan, kemasyarakatan, pendidikan dan kesihatan yang turut membentuk kehidupan manusia secara menyeluruh.
Universiti kebangsaan yang berpengaruh di dunia
UKM mahu menjadi universiti penyelidikan tersohor di persada dunia, tetapi aspirasi global ini tidak bermakna meninggalkan identiti nasional.
UKM kekal berakar di Malaysia, memberi perhatian strategik kepada rantau ASEAN dan negara serumpun Nusantara, sambil menjadikan bahasa Melayu sebagai teras identiti dan kekuatan akademiknya. Perpaduan dan kesepakatan masyarakat serumpun bukan hanya dibina melalui hubungan politik dan ekonomi, tetapi juga melalui ilmu, budaya dan bahasa.
Justeru, bahasa Melayu akan terus diperkasa sebagai bahasa akademik yang merentas sempadan dan menyatukan masyarakat serumpun. Ini bukan bermakna UKM menutup pintu kepada dunia. Sebaliknya, ia membuktikan bahawa sebuah universiti boleh menjadi semakin global tanpa kehilangan jati diri nasionalnya.
Iman, Ilmu dan Amal
TEKAD 57 dibina berdasarkan tiga nilai teras UKM: Iman, Ilmu dan Amal. Perlu ditegaskan, Iman, Ilmu dan Amal bukanlah nilai baharu yang diperkenalkan menerusi TEKAD 57. Ketiga-tiga nilai ini telahpun termaktub dalam falsafah UKM sejak penubuhannya, menjadi asas yang membimbing universiti ini sekian lama. Apa yang TEKAD 57 lakukan ialah meneguhkan komitmen UKM terhadap nilai-nilai tersebut dan menterjemahkannya ke dalam hala tuju strategik yang lebih tersusun bagi mendepani cabaran negara menjelang 2057.
Iman memberi asas nilai dan etika. Ilmu menjadi kekuatan untuk memahami dunia dan mencari penyelesaian. Amal pula memastikan ilmu dan nilai itu diterjemahkan kepada tindakan yang membawa manfaat kepada manusia, masyarakat dan negara.
Dengan asas ini, setiap langkah UKM bergerak dalam satu arah yang jelas: berpandukan nilai, dipacu ilmu, diterjemahkan melalui amal yang bermakna. Antara keutamaan yang diberi perhatian termasuk pembelajaran berciri keusahawanan dan berpaksikan kemanusiaan; pembangunan bakat berprestasi tinggi; penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan yang bertanggungjawab (RDICE); kemampanan dan kesejahteraan bumi; kemampanan kewangan; tadbir urus yang tangkas; pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat; serta kompetensi TVET termaju.
Kesemua elemen ini bukan sekadar memperkukuh ekosistem universiti, tetapi memastikan UKM sentiasa relevan menghadapi perubahan zaman dan memperluas manfaat ilmu kepada masyarakat.
Dari kampus kepada negara
Inilah semangat sebenar TEKAD 57. Ia tidak terhenti di lingkungan kampus.
Kejayaan sesebuah universiti akhirnya tidak ditentukan oleh kedudukan dalam penarafan antarabangsa atau jumlah penerbitan semata-mata. Yang lebih penting ialah sejauh mana ilmu yang dibangunkan dapat menyelesaikan masalah masyarakat, memperkukuh ekonomi, membentuk pemimpin berintegriti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pelaksanaan TEKAD 57 turut selari dengan agenda pembangunan pendidikan tinggi negara, supaya usaha UKM turut menyumbang kepada aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang berkualiti, tangkas dan mampan. UKM juga akan terus menjunjung tadbir urus yang mantap, berintegriti dan telus, termasuk kesediaan mendengar dan berkongsi pandangan dengan seluruh warga universiti serta pemegang taruh.
Generasi 2057 sedang berada di universiti hari ini
Apabila kita berbicara tentang tahun 2057, kita sebenarnya tidak bercakap tentang sesuatu yang terlalu jauh. Mahasiswa yang berada di universiti hari ini akan berusia sekitar 50-an tahun ketika itu. Merekalah bakal pemimpin negara, pembuat dasar, saintis, doktor, jurutera, usahawan, pendidik dan pemimpin masyarakat.
Generasi 2057 sedang kita didik pada hari ini.
Tanggungjawab universiti bukan sekadar menyediakan pelajar untuk mendapat pekerjaan pertama selepas bergraduat. Tanggungjawab kita jauh lebih besar, iaitu mempersiapkan mereka untuk membina, memimpin dan mencorakkan Malaysia pada masa hadapan.
TEKAD 57 dibangunkan dengan kesedaran itu. UKM mahu terus menjadi ‘pembekal ilmu’ kepada masyarakat, pembina bakat negara, dan institusi yang menghasilkan penyelesaian kepada cabaran sebenar, seiring dengan agenda pembangunan negara bangsa untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, mampan dan dihormati dunia menjelang 100 tahun kemerdekaan.
Persoalannya bukan lagi sama ada UKM mampu membentuk Gen57 sendirian, kerana jawapannya sudah jelas: tidak. Di sinilah tanggungjawab bersama bermula. UKM boleh menyediakan profesor, ruang, ilmu dan bimbingan, tetapi membentuk Gen57 sebagai pemimpin masa depan memerlukan penglibatan semua, pemimpin negara yang menggubal dasar bijaksana, teknologis yang membuka peluang baharu, industri yang menyediakan ruang aplikasi ilmu, ibu bapa yang membimbing dengan kasih, dan masyarakat yang menanam nilai. Kerana 2057 bukan sekadar angka di masa hadapan. Ia adalah pelaburan kita bersama, yang sedang ditentukan di bilik kuliah, makmal dan kampus kita pada hari ini.
*Artikel ini tulisan Prof Datuk Dr Sufian Jusoh, Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.