KUALA LUMPUR: Komitmen Datuk Seri Ismail Sabri bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain untuk tidak menyokong usul undi tidak percaya sekiranya Parlimen bersidang semula boleh meredakan suhu politik negara ketika UMNO berdepan krisis kepercayaan antara pemimpin ketika ini.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, perakuan sedemikian yang diwakili Naib Presiden UMNO itu merupakan satu langkah dan tindakan yang tepat. 

Bahkan, beliau menyifatkan keputusan itu juga menunjukkan kepekaan kepimpinan tertinggi UMNO untuk sama-sama membantu kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

"Kenyataan Ismail Sabri dan ahli Parlimen BN yang lain itu merupakan tindakan tepat bagi UMNO untuk terus memberikan komitmen terutama mereka yang memegang jawatan dalam Kabinet bersama kerajaan dalam menangani pandemik.

BACA: Ahli Parlimen UMNO, BN setuju Parlimen dibuka, tidak akan sokong undi tidak percaya

"Ini adalah satu langkah baik dan terpuji dan kita sedar bahawa keadaan UMNO sejak dua tiga hari ini sedang berhadapan krisis dengan kenyataan daripada Presiden sendiri bahawa Parlimen perlu bersidang 14 hari selepas notis dikeluarkan

"Saya yakin tindakan sama juga akan dilakukan menteri-menteri Kabinet yang lain untuk terus bekerja sebagai satu pasukan bagi menamatkan pandemik sekali gus menaikkan imej parti itu di mata rakyat sebagai satu contoh teladan pemimpin UMNO yang baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Rabu, dalam satu kenyataan, Ismail Sabri dan ahli-ahli Parlimen UMNO serta Barisan Nasional (BN) bersetuju Parlimen bersidang semula mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada atau kesesuaian pindaan yang diperlukan.

BACA: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong

Tegasnya, mereka bagaimanapun tidak akan menyokong usul undi tidak percaya sekiranya dikemukakan pada sidang berkenaan kelak.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Tegasnya, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.

Menurut Achmad Dzariean, kenyataan Ahmad Zahid itu telah mencetuskan reaksi berbeza daripada pemimpin UMNO lain terutama daripada Ismail Sabri sendiri yang terkejut dengan keputusan sedemikian.


Sidang Parlimen | Tempoh 14 hari hanya pandangan biro politik UMNO

"UMNO juga sedang berhadapan krisis apabila pendedahan daripada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendedahkan bahawa terdapat usaha menaikkkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Beliau mendakwa terdapat penglibatan ahli Parlimen UMNO menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR itu.

"Satu lagi krisis pula timbul berikutan pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa beliau individu bertangungjawab dalam mengumpulkan tandatangan SD ahli Parlimen BN memberi sokongan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein," ujarnya.