Komunikasi jelas penting dalam perubahan cukai - MOF

Liew berkata komunikasi yang berkesan amat penting bagi membina keyakinan awam terhadap sistem percukaian negara. - Gambar Facebook Liew Chin Tong
PUTRAJAYA: Menyedari hal percukaian perkara sensitif kepada semua pembayar cukai, penting bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk mendengar serta memahami sentimen awam, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Ringkasan AI
- Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, menekankan pentingnya LHDN berkomunikasi secara jelas dan efektif dengan pembayar cukai untuk membangun keyakinan awam terhadap sistem percukaian negara.
- Beliau menegaskan agar LHDN memainkan peranan penting dalam meningkatkan syarikat Malaysia, khususnya multinasional tempatan, dengan menjamin keadilan dalam persaingan antara syarikat asing dan tempatan.
- Liew mengakui kejayaan LHDN dalam mengendalikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan subsidi bersasar BUDI95, serta menyeru perluasan usaha pendigitalan untuk meningkatkan efisiensi proses kerajaan dan menyokong agenda pendigitalan nasional.
Selain itu, beliau berkata LHDN juga boleh memainkan peranan penting dalam melonjakkan syarikat Malaysia, khususnya multinasional tempatan dengan memastikan wujudnya medan persaingan yang adil antara syarikat asing dan tempatan.
"Ketika di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), antara fokus utama saya ialah mengubah paradigma penilaian terhadap syarikat Malaysia. Kita sering menganggap hanya syarikat asing mempunyai teknologi, sedangkan hakikatnya sudah ada syarikat Malaysia yang mencapai tahap teknologi tinggi dan bertaraf juara dunia dalam bidang khusus," katanya.
Liew berkata pendekatan yang adil dalam sistem percukaian penting bagi memastikan syarikat tempatan tidak dikebelakangkan, sekali gus menyokong agenda membangunkan syarikat nasional yang berdaya saing di peringkat global.
Mengulas mengenai pendigitalan, Liew berkata LHDN yang memiliki pangkalan data besar telah membuktikan keupayaan menguruskan pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), di samping menjalankan fungsi terasnya sebagai agensi pemungut hasil kerajaan.
"Kejayaan mengendalikan subsidi bersasar BUDI95 (BUDI MADANI RON95) juga menunjukkan Malaysia merupakan antara negara yang berjaya dari segi digital. Usaha ini perlu diperluaskan bagi meningkatkan tahap pendigitalan proses kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata peranan LHDN amat penting dalam menjayakan agenda pendigitalan nasional kerana gerak kerjanya melibatkan populasi yang besar.
Dalam pada itu, Liew merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Abu Tariq Jamaluddin atas jemputan lawatan berkenaan.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pegawai dan petugas Sektor Dasar Percukaian, Jabatan Pungutan Hasil, Jabatan Resolusi Pertikaian, Jabatan e-Invois, Jabatan Operasi Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Pusat Operasi dan Teknikal Hasil serta seluruh warga LHDN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


