Skip to main content

Malaysia

Tindakan tegas perlu terhadap pihak tidak hormat Jalur Gemilang

PUTRAJAYA, 14 Ogos -- Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Dr Roslan Hussin ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Gelombang Aku Kasih Malaysia: Kesejahteraan Dinikmati Peringkat AKM 2026 di Dewan Damar Sari, Kompleks Bangunan Kerajaan Persekutuan, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Roslan ketika sidang media selepas Majlis Peluncuran Gelombang Aku Kasih Malaysia: Kesejahteraan Dinikmati Peringkat AKM 2026 di Dewan Damar Sari, Kompleks Bangunan Kerajaan Persekutuan, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang tidak menghormati Jalur Gemilang bagi memastikan maruah dan lambang negara sentiasa dipelihara, kata Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Datuk Dr Roslan Hussin.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu meneliti setiap kes dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang terhadap ketidakpatuhan pemasangan Jalur Gemilang seperti tidak lengkap atau tidak mengikut spesifikasi supaya tidak berulang pada masa akan datang. 

“Mereka (penguat kuasa) mesti meneliti perkara ini dan kalau perlu, kena diambil tindakan undang-undang, jangan biarkan.

“Kalau orang buang sampah kita boleh ambil tindakan, apatah lagi kalau meletakkan nilai kenegaraan melalui bendera Malaysia (secara tidak betul),” katanya kepada pemberita selepas Program Khas Aku Kasih Malaysia: Kesejahteraan Dinikmati di sini hari ini. 

Roslan berkata Jalur Gemilang yang menjadi lambang utama kecintaan rakyat terhadap negara sewajarnya diberikan perhatian serius oleh setiap warga Malaysia.

“Tidak kira sama ada penjawat awam ataupun tidak, asalkan rakyat Malaysia perlu menjaga lambang negara dengan baik kerana itu maruah kita,” katanya.

Roslan berkata langkah penguatkuasaan penting sebagai pelengkap kepada usaha kesedaran yang dilaksanakan AKM dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Selain itu, beliau berkata AKM akan terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga lambang negara dan aspek kenegaraan.

“AKM sangat berharap agar pihak tertentu memberikan perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement