PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat memperkukuh ekonomi domestik sebagai benteng utama menghadapi krisis tenaga global yang semakin meruncing susulan konflik di rantau Asia Barat.
Jelas Anwar, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa meneliti secara mendalam perkembangan krisis tersebut serta implikasinya terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Advertisement
"Dunia kini memasuki fasa yang lebih mencabar dan tidak menentu, justeru, Malaysia perlu bersiap siaga dengan pendekatan yang berdisiplin, cekal dan semangat kebersamaan.
"Utamakan barangan tempatan dan sokong usahawan kita, kerana kekuatan dalaman merupakan benteng utama mendepani krisis tenaga global.
"Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," ujar Anwar menerusi satu kenyataan di Facebook, pada Selasa.
Tegas beliau lagi, setiap langkah yang diambil akan dipastikan bersifat menyeluruh, seimbang dan berkesan.
"Setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.
"Kerajaan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan," katanya.