MALAYSIA
Konflik Iran-Israel: 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia dijangka tiba malam ini - Mohamad Hasan

Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, kesemua mereka berjaya memasuki pintu sempadan ke Turkmenistan pada malam Sabtu. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan seramai 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa keluar dari Iran susulan konflik yang semakin meruncing di negara itu.
Ringkasan AI
- Seramai 24 individu termasuk 17 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari Iran ke Turkmenistan susulan konflik yang semakin meruncing; mereka dijadual tiba di KLIA malam ini.
- Kumpulan tersebut termasuk sembilan kakitangan kedutaan bersama keluarga, enam warga Iran yang merupakan tanggungan rakyat Malaysia, seorang pemastautin tetap, dan seorang warga Singapura.
- Seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di Iran termasuk lima pelajar; tiga individu menukar fikiran untuk kekal di sana meskipun Kementerian Luar telah mengarahkan semua rakyat Malaysia supaya meninggalkan negara itu.
"Selain itu, enam orang warga Iran iaitu lima daripadanya merupakan tanggungan rakyat Malaysia; seorang berstatus pemastautin tetap, serta seorang warga Singapura," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp pada Ahad.
Mohamad ketika ini berada di Istanbul, Turkiye bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51.
Mohamad menambah, kumpulan terbabit seterusnya bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat, Turkmenistan bagi menaiki penerbangan ke Bangkok dan dijadual tiba sekitar jam 1 tengah hari waktu tempatan.
Katanya, kesemua mereka dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pada pukul 10.50 malam ini.
Mengulas lanjut, Mohamad menjelaskan seramai 13 rakyat Malaysia masih berada di negara itu termasuk lima pelajar.
Menurut beliau, tiga rakyat Malaysia turut menukar fikiran di saat akhir dan memilih untuk kekal berada di Iran, bersama seorang lagi warga Iran yang memegang status pemastautin tetap Malaysia.
Pada Sabtu, Kementerian Luar mengarahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu.
Mohamad berkata pihak Wisma Putra telah menguruskan pengangkutan darat untuk semua rakyat Malaysia menuju ke Ashgabat, Turkmenistan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami