MALAYSIA
Konflik sempadan: Gencatan senjata buka peluang capai kedamaian, pulih hubungan - Pemimpin Kemboja, Thai

PM Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai (kanan) ketika sidang media pada Mesyuarat Khas Bersama di Kompleks Seri Perdana, hari ini. - fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Pemimpin Kemboja dan Thailand menzahirkan keyakinan bahawa keputusan gencatan senjata yang dicapai hari ini akan membuka peluang besar kepada kedua-dua negara untuk mencapai kedamaian pada masa depan.
Menurut Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, persefahaman hasil Mesyuarat Khas yang berlangsung di Putrajaya menjadi asas untuk meneruskan rundingan dua hala serta memulihkan hubungan.
"Kami berharap penyelesaian yang baru sahaja diumumkan Perdana Menteri Malaysia akan menjadi asas untuk meneruskan rundingan dua hala, memulihkan semula hubungan dan menjadi landasan kepada pengunduran pasukan (tentera) secara berperingkat pada masa hadapan.
"Saya sekali lagi menghargai hasil rundingan ini dan saya yakin bahawa keputusan yang telah dicapai hari ini akan membuka banyak peluang untuk ratusan ribu rakyat di kedua-dua negara kembali kepada kehidupan normal, serta menamatkan pertelingkahan antara dua negara kita. "Kini tiba masanya untuk membina semula kepercayaan dan kerjasama ke arah masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai di sini pada Isnin.
Sementara itu, Phumtham berkata hasil rundingan tersebut mencerminkan hasrat Thailand untuk mencapai penyelesaian secara aman antara Kemboja.
"Selain itu, terus mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat kami. Kami berdoa agar segala keputusan ini dapat dilaksanakan dengan penuh kejayaan dan keikhlasan, dan kedua-dua negara," ujar beliau.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan China kerana menjadi perantara dan menganjurkan mesyuarat tergempar ini.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam ini bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara.
Kejayaan tersebut diumumkan oleh Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi dalam kenyataan bersama selepas Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Menurut Anwar, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan diplomatik yang konstruktif, dan langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan serta keselamatan.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri juga menambah Malaysia bersedia menyelaras pasukan pemerhati untuk mengesahkan dan memastikan pelaksanaan persefahaman itu.
Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang berlangsung sekitar dua jam turut Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Edgard D. Kagan, yang bertindak sebagai fasilitator bersama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami