MALAYSIA
Konflik Thai-Kemboja: Usaha Malaysia tidak mungkin tercapai tanpa solidariti rakan ASEAN - PM Anwar

Dengan tahap kepercayaan dan keyakinan yang ditunjukkan semua pihak, khususnya dari kedua-dua Thailand dan Kemboja, Anwar berkata, Malaysia memudahcara proses gencatan senjata. - Foto Facebook/Anwar Ibrahim
CYBERJAYA: Usaha Malaysia untuk menyelesaikan konflik peperangan di antara Thailand dan Kemboja, sehingga membawa kepada pengekalan gencatan senjata, tidak mungkin tercapai tanpa sokongan negara anggota ASEAN yang lain.
Ringkasan AI
- Malaysia bantu kekalkan gencatan senjata ThailandKemboja dengan sokongan ASEAN: Usaha damai dipacu kepercayaan serantau dan mandat yang diberikan kepada Malaysia sebagai pemudah cara.
- Rundingan disokong pemimpin dan tentera kedua-dua negara: Persetujuan dicapai untuk Malaysia terus memantau sempadan melalui Panglima ATM dan cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN.
- Kuasa besar dunia turut beri sokongan terhadap usaha damai: Anwar zahirkan penghargaan kepada China dan AS, mencerminkan kepercayaan global terhadap kepimpinan Malaysia dan peranan ASEAN.
“Konflik yang berlaku di sempadan Thailand-Kemboja adalah satu peringatan kepada kita bagaimana ketegangan boleh terjadi dengan cepat jika ia tidak diselesaikan dengan segera.
“Saya ingin merekodkan penghargaan kepada rakan-rakan pemimpin, Presiden dan Perdana Menteri dalam ASEAN, yang secara berterusan memberi sokongan terhadap usaha (Malaysia) ini.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada kedua-dua pemimpin Thailand dan Kemboja, Kabinet serta ketua-ketua tentera. Ini menunjukkan bukan setakat Perdana Menteri atau Menteri Luar, tetapi kepercayaan oleh tentera juga adalah sesuatu yang menakjubkan,” katanya lagi.
Dengan tahap kepercayaan dan keyakinan yang ditunjukkan semua pihak, khususnya dari kedua-dua Thailand dan Kemboja, Anwar berkata, Malaysia memudahcara proses gencatan senjata.
Perdana Menteri berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama sempena Hari ASEAN 2025 ke-58 di Cyberjaya, pada Jumaat.
Dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit di Putrajaya pada Khamis, kedua-dua pihak telah mencapai beberapa persetujuan penting dalam usaha mengekalkan gencatan senjata di sempadan kedua-dua negara.
Antara yang dipersetujui ialah kepercayaan terhadap Malaysia untuk terus menerajui rundingan damai dan memantau situasi di sempadan melalui peranan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
Selain itu, cadangan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN (ASEAN Observer Team - AOT) turut dibincangkan bagi membantu usaha pemantauan, bantuan kemanusiaan dan pengurusan perubatan di kawasan sempadan.
Dalam pada itu Anwar tidak ketinggalan untuk menzahirkan penghargaan kepada Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang turut menyokong usaha rundingan tersebut.
Dengan sokongan itu, beliau berkata, ia mencerminkan kepercayaan kuasa-kuasa besar dunia terhadap Kepengerusian Malaysia, serta ASEAN sebagai rantau yang sentiasa mementingkan keamanan dan kemakmuran bersama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami