Skip to main content

Malaysia

Kongres PKR: Kerajaan tolak desakan kawal media, tak mahu ulangi 'kezaliman' dulu - Fahmi

Sumber: Astro AWANI
Fahmi berkata kerajaan menolak sebarang desakan untuk mengawal stesen penyiaran dan agensi media, sebaliknya komited mengekalkan kebebasan laporan berteraskan adab dan tertib. - Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Kerajaan menolak sebarang desakan untuk mengawal stesen penyiaran dan agensi media, sebaliknya komited mengekalkan kebebasan laporan berteraskan adab dan tertib.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan sebuah parti yang lahir daripada gerakan reformasi jalanan menentang kezaliman penguasa terdahulu, sekali gus enggan mengulangi corak pentadbiran lama yang gemar menyekat kebebasan bersuara.

Jelas beliau, sekiranya timbul isu berkaitan laporan yang tidak tepat, pendekatan kerajaan masa kini adalah menegur secara berhemah dan beradab, bukannya mengeluarkan arahan mutlak seperti zaman silam.

"Ada perwakilan yang masih bertanya kenapa Fahmi Fadzil tidak mengawal TV? Kita lahir di atas jalanan menentang penguasa yang mengarah pemerintah untuk melakukan macam-macam terhadap Datuk Seri Presiden dan kita semua. Adakah kita mahu mengulangi kezaliman seperti itu? Sudah pasti tidak!

"Kita bukan dalam mod untuk mengawal media. Sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak benar, kita berurusan dengan media secara tertib dan beradab untuk memberi sedikit teguran. Ini berbeza dengan zaman dahulu yang diarah secara langsung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai pengawalseliaan maklumat, Ketua Penerangan PKR itu berkata fokus kerajaan ketika ini adalah membanteras penyebaran fitnah dan sentimen perkauman di ruang digital yang digerakkan oleh akaun-akaun palsu.

Sehubungan itu, Fahmi mendedahkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti lebih 8,410 akaun palsu yang dikesan memainkan isu 3R sejak siri Pilihan Raya Negeri (PRN), serta memaklumkan kepada platform media sosial berkaitan untuk menurunkan akaun terbabit.

Menurut beliau, semakan mendapati modus operandi pihak terbabit adalah dengan menghasilkan akaun palsu menyerupai individu sebenar, menyebarkan hantaran berunsur emosi dan fitnah, sebelum memadamkan hantaran berkenaan selepas tangkap layar berjaya disebarkan secara meluas.

"Hampir setiap hari ratusan akaun palsu dalam media sosial yang cuba mengapikan sentimen telah dikesan dan akan diturunkan.

"Kita akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memanfaatkan keupayaan baharu untuk membasmi akaun-akaun palsu ini supaya isu-isu yang bersifat emotif tidak terus dimanipulasi," tegas beliau lagi.

 

 

Must Watch Video

Advertisement