JOHOR BAHRU: Konsep 'Bangsa Johor' menjadi teras yang akan ditekankan kerajaan Johor yang baharu dalam memastikan semua rakyat akan turut terbabit dalam membangunkan negeri berkenaan, kata Datuk Onn Ghazi Hafiz

Sehubungan itu, Menteri Besar Johor itu berkata, aspek kebajikan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan rakyat tanpa mengira agama, bangsa serta latar belakang akan menjadi keutamaan dan fokus kerajaan negeri baharu pimpinannya.

Menurut Onn Hafiz, dalam usaha memacu negeri Johor ke tahap lebih baik terutamanya dalam tempoh yang penuh mencabar ini, beliau akan disokong oleh barisan Exco baharu yang dilantik.

”Saya sedar dan insaf, cabaran yang menanti di hadapan adalah amat besar dan mencabar terutama ketika kita masih lagi bertarung dengan pandemik COVID-19.

“Namun, saya bersama barisan (Exco) ini akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri Johor ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat johor, dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan,” kata beliau.

Onn Hafiz berkata demikian ketika mengumumkan barisan 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri Johor kepada wartawan di kediaman rasmi beliau di Saujana dekat sini, pada Sabtu.

Dalam masa sama, katanya, beliau bersama barisan Exco itu akan bekerja keras memenuhi janji-janji yang dibuat Barisan Nasional (BN) iaitu lima ikhtiar yang digariskan pada  Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan berkata, beliau akan terus memulakan tugas untuk melakukan perancangan yang terbaik untuk Johor di masa akan datang.

“Saya anggap ini sebagai satu tanggungjawab yang berat untuk saya… macam mana kita nak membawa negeri Johor ke arah endemik. Sebelum ini kita di (fasa) pandemik (dan) sekarang kita nak masuk ke peringkat endemik, saya anggap itu sebagai satu cabaran.

“Saya baru saja dlm bidang ini, biar saya bincang dengan pegawai-pegawai (mengenai) persiapan negeri Johor untuk menghadapi ke tahap andemik ataupun persiapan untuk kita bukak sempadan menerima kunjungan daripada rakyat Singapura untuk masuk ke negeri johor dan membangunkan ekonomi,” kata Tiang Soon.

Bagi ADUN Larkin, Mohd Hairi Mad Shah yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia pula, tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dianggap satu cabaran besar terutamanya kepada beliau selaku orang muda.

“Portfolio ini bagi saya adalah satu portfolio yang agak berat khususnya untuk orang muda, saya harus berhempas pulas memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam portfolio saya ini dan saya minta kepada seluruh rakyat Johor (untuk) bersama-sama dengan kami 10 Exco khususnya kepad Yang Amat Berhormat (Menteri Besar) agar kita bergerak bersama bagi memastikan Johor gemilang semula,” kata Mohd Hairi.

Kesemua 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri johor yang baharu hari ini mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada majlis istiadat pelantikan yang berlangsung di balai mengadap Istana Bukit Serene.