PUTRAJAYA: Mesyuarat Kabinet hari ini menterjemahkan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengamalkan konsep bekerja secara berpasukan, termasuk dalam perkara menjawab soalan-soalan di Parlimen, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

"Perdana menteri tegaskan konsep bekerja sebagai satu pasukan, (ia juga) bermaksud dalam menjawab soalan di Parlimen. Sebagai contoh apabila saya tak boleh menjawab atau tiada di Parlimen ketika itu, Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) yang akan menjawab," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata bagi isu yang melibatkan hal ehwal Sabah Sarawak, ia akan dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, dan sekiranya beliau tidak boleh menjawab atau tidak berada di Parlimen, tugas itu akan digalas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

"Sekiranya Ewon tidak ada, ia akan dijawab oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan jika ketiga-tiga mereka tidak ada, maka timbalan kepada Fadillah iaitu Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Guna Daya Awam Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang akan menjawab," katanya.

Bagi isu berkaitan bencana, Fahmi berkata ia akan dijawab di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sekiranya beliau tidak ada di Parlimen ketika itu, tugas itu digalas oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri atau timbalannya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Bagi isu Felda pula yang sebelum ini dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, telah diputuskan ia akan dijawab di Parlimen oleh Ahmad Zahid dan sekiranya beliau tidak berada di Parlimen, ia akan dijawab oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.

Sementara itu, Fahmi berkata fokus kerajaan tahun ini adalah untuk terus memastikan pelaksanaan dasar-dasar yang diumumkan Kerajaan Perpaduan termasuk Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Gaji Progresif dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), direalisasikan.

"Fokus kita tahun ini adalah menarik bukan hanya lebih banyak pelabur, malah merealisasikan, menzahirkan pelaburan itu di dalam negara, maksudnya bukan setakat pengumuman tetapi direalisasikan.

"Mesej-mesej perdana menteri kepada Jemaah Menteri sangat jelas, kita fokus kepada isu pentadbiran dan Insya Allah semua akan berjalan dengan baik," katanya.

Beliau berkata barisan Jemaah Menteri akan memastikan kelancaran bagi sesuatu projek yang diumumkan Kerajaan Perpaduan akan disegerakan termasuk dari aspek permohonan kelulusan dan pelaksanaanya.

-- BERNAMA