Model e-pasar atau pasar digital seperti yang diperkenalkan Grab akan memberi keuntungan kepada pihak peniaga dan pembeli.

Namun begitu, Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pelaksanaannya perlu diperincikan dengan lebih teliti dan jelas.

Hal ini penting bagi memberi penerangan kepada golongan peniaga kecil yang mungkin tidak mempunyai pengetahuan mendalam berkenaan konsep ini.

"E-pasar sememangnya satu model perniagaan yang baik, terutama sekali dalam situasi negara berhadapan dengan ancaman wabak seperti sekarang.

"Tetapi memandangkan ia satu model yang baharu, ia masih perlu diperjelaskan kerana kita tahu, bukan semua orang mempunyai kemahiran dalam bidang pemasaran perniagaan secara digital.

"Jika pelaksanaannya berkesan, ia akan membantu khususnya bagi mereka yang baru memulakan perniagaan atau peniaga dan penjaja kecil, terutama untuk tempoh seperti sekarang di mana peniaga dan penjaja tidak boleh berniaga seperti biasa," kata Rosli.

Sementara itu, peniaga menyambut baik pengenalan tersebut dan menyifatkan ia memberikan lebih opsyen kepada mereka.

"Kalau yang biasa meniaga di pasar pun, boleh cuba kaedah baharu ini untuk dapatkan pendapatan lebih.

"Saya tak fikir ada isu sebab majoriti kita sekarang adalah pengguna kemudahan dan aplikasi digital," kata peniaga yang hanya mahu dikenali dengan nama Nora, 29 tahun.

Sementara itu, bagi pengusaha makanan atas talian, Norhazwani Chek Mat, dia bersetuju yang konsep e-pasar perlu diperjelaskan, dan percaya ia mampu dimaksimumkan jika semua pihak memahami model perniagaan sedemikian.

"Peniaga kecil terutamanya, ada yang tidak terdedah dengan konsep digital ini, jadi isu ini perlu diatasi terlebih dahulu.

"Jika ia mampu diatasi, kedua-dua pihak, iaitu peniaga dan pembeli akan dapat manfaat," katanya.

Pengenalan ciri e-pasar yang dikenali dengan nama Pasar di aplikasi Grab merupakan tambahan kepada perkhidmatan GrabMart yang menghantar barang-barang harian yang dibeli dari farmasi dan kedai serbaneka.

Pasar membolehkan pelanggan membeli barangan segar seperti ayam, daging dan makanan laut dari pasar berdekatan dan penghantaran terus ke rumah mereka.

Perkhidmatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Grab untuk memenuhi keperluan pelanggan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

"Grab menggunakan teknologi untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan kami menyesuaikan perkhidmatan supaya boleh memenuhi keperluan semasa.

"Ini penting untuk membolehkan pengguna dapat membeli keperluan asas dengan mudah dan dalam masa yang sama memastikan rakan niaga kami terus dapat beroperasi," kata Ketua Hal Ehwal Awam dan Kerajaan, Grab Malaysia, Ebi Azly Abdullah.

Pasar TTDI adalah lokasi pertama bagi Pasar, dan Grab berharap ia akan berkembang ke lebih banyak pasar lain pada masa akan datang.