KUALA LUMPUR : Kumpulan penjaja sempena berlangsungnya konsert band rock popular England, Muse, di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil memohon agar diberi peluang dan ruang untuk berniaga.

Kata salah seorang peniaga, Daus Bagu, mereka pada awalnya terpaksa mengalihkan barang jualan seketika ketika diminta pihak penganjur konsert.

“Beri kami peluang berniaga, bukan nak untung ribu-ribu pun.

“Dari semalam kami buat persiapan untuk berniaga. Bila dihalau tadi, kecewa la juga. Mujur selepas itu, kami dibenarkan semula untuk sambung berniaga,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.

Bagi peniaga baju, Muhd Azahari Hasan memaklumkan dia turut diarah mengalihkan barang jualan sebentar tadi.

Namun begitu, selepas beberapa jam, mereka dibenarkan semula untuk menyambung berniaga.

Dalam masa sama, dia teruja selepas jualan baju berlatarkan gambar kumpulan Muse mendapat sambutan luar biasa.

“Alhamdulillah anggaran 400 helai berjaya dijual hari ini. Rezeki selepas berniaga di konsert Blackpink awal tahun ini.

“Kali ini memang lebih meriah. Terima kasih peminat Muse yang datang membeli,” katanya.

Muse yang popular menerusi lagu Starlight dan Hysteria mengadakan konsert kali kedua di negara ini selepas persembahan pertama di Stadium Negara pada 2007.

Kali terakhir Muse mengadakan persembahan di Asia pada 2019 menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian dari jelajah Konsert Simulation Theory.