Konsert artis antarabangsa Richard Marx tetap berlangsung seperti dijadualkan walaupun terdapat ancaman bom di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di Jalan Pinang hari ini.

Ia susulan berita mengenai penemuan bungkusan mencurigakan di luar kawasan Aquaria KLCC yang tersebar sejak jam 5.15 petang tadi.

Serentak dengan itu juga, orang ramai telah diarahkan untuk mengosongkan kawasan sekitar atas faktor keselamatan.

Hasil siasatan polis kemudiannya telah menemui dua botol menyerupai balang yang kemudiannya disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa tidak mengandungi bahan letupan.

Katanya, botol terbabit sebenarnya merupakan bahan uji kaji sekumpulan pelajar yang ditinggalkan selepas mengunjungi Petrosains dan membuat projek sains menggunakan botol terbabit.

Polis juga telah mengesan kumpulan pelajar berkenaan bagi merakam percakapan mereka.


Dua botol menyerupai balang.yang dijumpai di luar Aquaria KLCC pada petang Rabu. - Foto PDRM
Kedua-dua balang berkenaan kemudiannya telah dibawa ke tempat yang selamat untuk diletupkan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah dalam satu kenyataan berkata objek berkenaan ditemui pada 5.15 petang tadi oleh seorang tukang cuci.

Menurutnya tukang cuci terbabit memaklumkan kepada pihak keselamatan Aquaria KLCC pada 5.30 petang.

"Kami yang menerima laporan tentang objek berkenaan bergegas ke lokasi kejadian bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) serta Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata UPB telah memusnahkan objek itu kira-kira 8 malam dengan menggunakan robot UPB.


Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi catatan Twitternya turut mengesahkan bahawa dua balang berkenaan bukannya bahan letupan tetapi bahan uji kaji lampu yang ditinggalkan pelajar, selepas melawat Petrosains KLCC.

Menurutnya, uji kaji lampu dalam botol berkenaan dinamakan sebagai STARLAB, diberikan Petrosains sebagai cenderahati, dalam satu lawatan murid-murid dari sebuah sekolah di Bukit Beruntung.


Jurucakap Universal Music turut mengesahkan konsert Richard Marx berlangsung seperti biasa dan bermula kira-kira 8.40 malam, walaupun terdapat ancaman berkenaan.

Konsert 'Richard Marx - The Solo Tour :Live In Concert', dianjurkan oleh Midas Promotions dengan kerjasama bersama Fat Boys.

Kali terakhir Marx membuat persembahan di Malaysia adalah di Konsert Setia Super, di Johor Bahru pada tahun 2013.

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi penemuan dua objek mencurigakan berhampiran Aquaria Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Objek mencurigakan dipercayai bahan letupan itu ditemui petang tadi. --fotoBERNAMA
Polis sedang melakukan siasatan terhadap dua botol menyerupai balang di luar Aquaria KLCC - -fotoBERNAMA

Pihak pengurusan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu turut mengesahkan dua objek yang tidak dikenal pasti telah ditinggalkan tanpa pengawasan di bahagian ruang legarnya.

Dalam satu kenyataan, KLCC berkata pihak berkuasa berkaitan telah dihubungi dengan kadar segera dan orang ramai telah diarahkan untuk mengosongkan kawasan sekitar berkenaan atas faktor keselamatan.