Seorang anggota polis cedera ditikam seorang lelaki di sebuah restoran di Kondominium Selayang Point dekat Batu Caves, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, mangsa merupakan seorang konstabel berusia 26 tahun mengalami kecederaan ditikam sehingga perutnya terburai.

Menurut kenyataan pihak polis, semuanya berpunca daripada salah faham yang mendorong kepada berlakunya pergaduhan.

Mangsa bersama tiga rakannya memesan makanan daripada seorang individu yang disangkakan pekerja di restoran berkenaan.

Apabila permintaan tidak diendahkan lantas mencetuskan pergaduhan sehingga lelaki tersebut mengeluarkan senjata tajam dan menikam mangsa.

Mangsa kini dilaporkan stabil di Hospital Selayang dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.