KOTA BHARU: Konvoi motosikal menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini semalam bukan anjuran kerajaan negeri, sebaliknya inisiatif individu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri tidak terlibat dalam penganjurannya dan menegaskan semua pihak perlu mematuhi undang-undang, khususnya di kawasan awam dan kawasan sensitif seperti lapangan terbang.
Advertisement
“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara dan tidak menjejaskan operasi di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kawasan lapangan terbang memerlukan tahap keselamatan tinggi bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang.
Semalam, tular di media sosial penganjuran program “Konvoi & Lepak Mat Motor Bersama YB” yang didakwa anjuran Kelab Penyokong Kerajaan dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penganjuran konvoi itu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab kerana kawasan lapangan terbang kawasan strategik dan keselamatan perlu dipelihara sepanjang masa.
-- BERNAMA