MALAYSIA
Korea Selatan puji kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dalam tangani krisis Myanmar

Seung Bae berkata Korea amat menghargai peranan Malaysia dan kerajaan kami akan terus menyokong peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Korea Selatan memuji kepemimpinan aktif Malaysia sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), dengan menekankan peranannya yang konstruktif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan serantau.
Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae berkata ketika ASEAN berusaha memastikan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara, Malaysia sebagai Pengerusi memainkan peranan penting dan aktif, khususnya dalam menangani krisis berterusan di Myanmar.
"Seperti yang anda lihat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan ke Bangkok beberapa bulan lalu dan telah bertemu dengan kepimpinan tentera serta kepimpinan pembangkang.
"Dengan memainkan peranan penting sebagai Pengerusi ini, Malaysia memberi sumbangan positif kepada keamanan dan kestabilan serantau."Sehubungan itu, Korea amat menghargai peranan Malaysia dan kerajaan kami akan terus menyokong peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Pada Mei 2025, Perdana Menteri Anwar telah memulakan dialog berasingan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan pemimpin Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), yang menjadi langkah penting ke arah memupuk penglibatan terus antara pihak-pihak yang bertelagah.
Susulan itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM 2025) telah bersetuju bahawa ASEAN akan mengadakan perundingan dalaman berhubung cadangan melantik Utusan Khas Tetap ASEAN mengenai Myanmar untuk tempoh tiga tahun, langkah yang bertujuan memastikan kesinambungan dan penglibatan berterusan dalam menangani krisis berpanjangan itu.
Pada 22 Jun, Malaysia menyeru kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menangani keadaan yang semakin meruncing di Myanmar dengan memberi tumpuan kepada usaha menamatkan keganasan, mengurangkan krisis kemanusiaan dan menyokong keamanan jangka panjang di negara itu.
Sementara itu, bagi Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang akan datang pada Julai ini, Yeo turut mengesahkan peranan Korea Selatan sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab dan penyokong kuat kepada pemusatan ASEAN, khususnya dalam usaha Malaysia memperbaiki keadaan keselamatan serantau.
Korea merupakan anggota yang sangat aktif dalam Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN serta rakan dialog ASEAN yang sangat aktif.
"Jadi, semestinya kerajaan baharu kami memberi penekanan besar kepada Mesyuarat Menteri Luar pada Julai ini," katanya.
Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 akan diadakan dari 8 hingga 11 Julai 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang akan menghimpunkan menteri luar negara anggota ASEAN untuk menilai kemajuan dan perpaduan ASEAN, selain membincangkan isu-isu utama serantau.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami