Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan dua lagi kes positif Novel Koronavirus (2019-nCoV) dikesan, menjadikan jumlah positif di Malaysia seramai 14 orang.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kedua-dua kes membabitkan wanita dengan seorang wanita rakyat Malaysia merupakan kes jangkitan tempatan pertama di negara ini.

Kes pertama yang dilaporkan positif ialah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 40 tahun, manakala kes kedua adalah pelancong wanita dari Wuhan, China berumur 37 tahun.

“Wanita warganegara Malaysia itu merupakan adik kepada kes pertama positif novel koronavirus warganegara Malaysia, yang pulang dari Singapura dan dilaporkan positif sejak 4 Februari lalu.

“Sebaik sahaja abangnya dikesan, beliau dijejaki oeh pejabat kesihatan dan sampel beliau dan ahli keluarga lain telah diambil,” kata Dr Dzulkefly.

[LAPOR LANGSUNG] Angka kematian mencecah 565 di seluruh dunia


Beliau berkata demikian ketika menghadiri sidang media Perkembangan Terkini Kluster 2019-nCoV, di KKM Putrajaya, pada Khamis.

Wanita itu kini berada di wad kuarantin di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Dalam pada itu, kes kedua yang disahkan positif hari ini membabitkan wanita yang tiba di Malaysia pada 25 Januari lalu bersama ibu dan tiga rakannya untuk bercuti.

“Hasil dirujuk ke HKL untuk masuk wad pada 5 Feb 2020. Ujuian pengesanan dilaporkan positif pada 5 Feb (hari sama),” katanya lagi.

Kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil.

Novel koronavius telah meragut 566 nyawa di 28 buah negara seluruh dunia dan menjangkiti 28,297.

Daripada jumlah itu, 227 adalah negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan makmal, katanya.

Mengenai kes seorang warganegara Kanada yang dilapor pengsan di lot parkir sebuah pusat membeli-belah di ibu negara, yang tular di media sosial semalam, Dzulkefly berkata wanita itu disahkan negatif koronavirus.

Beliau berkata remaja berusia 17 tahun yang ditempatkan di wad isolasi HKL itu telah pun dibenarkan pulang.