Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata Ketua Pengarah Kesihatan yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang diturunkan satu gred susulan kes khalwat bulan lalu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Ali berkata prosedur calon pengganti seseorang ketua pengarah yang baru itu dibuat mengikut proses biasa dalam sektor perkhidmatan awam.

"Kita tunggu sahajalah kerana ini adalah proses biasa dalam perkhidmatan awam termasuk pemilihan pengganti (ketua pengarah kesihatan). Kita akan umum apabila tiba masanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong-royong Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK )di Kampung Lindung, Karambunai dekat sini, hari ini.

Ali berkata demikian bagi mengulas kekosongan jawatan itu berikutan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam, Rabu lepas bahawa Dr Hasan yang diturunkan satu gred susulan kes itu kini bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan.

Mahmood berkata mesyuarat SPA memutuskan Dr Hasan yang merupakan Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II, Kementerian Kesihatan itu diturunkan pangkat ke satu gred yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sekarang dan ia dibuat mengikut Peraturan 33(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Pada 14 Nov, Dr Hasan, 56, dan pasangannya Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, juga petugas kementerian, masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini, pada 2.18 pagi hari yang sama.

Terdahulu, Ali yang juga Yang Dipertua MAKSAK berkata program yang dimulakan sejak 2003 itu akan diteruskan berikutan sambutan menggalakkan di mana pegawai dan anggota kerajaan dapat mendekatkan diri dengan rakyat selaras dengan konsep "Merakyatkan Perkhidmatan Awam".

Beliau berkata program seumpama itu memberi peluang kepada perkhidmatan awam untuk berkongsi maklumat mengenai usaha-usaha penambahbaikan yang sedang dan bakal dilaksanakan.

"Program kali kelapan dan pertama kali diadakan di Sabah ini memberi peluang penjawat awam berada dekat di hati orang kampung terutama di kawasan luar bandar selain memberi sumbangan kecil kepada masyarakat," katanya.

Pada majlis itu, Ali turut menyampaikan sumbangan ihsan mesin rumput kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Lindung Amin Mendani dan sumbangan hamper kepada penduduk kampung sekitar.

Turut hadir Anggota Parlimen Karambunai yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Tekonologi Maklumat negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid serta Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Yang Dipertua MAKSAK Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.