Skip to main content

Malaysia

Pertemuan Anwar-Putin: Jemputan lawatan negara, penerbangan terus, mekanisme khas pelaksanaan jadi tumpuan

NEW DELHI, Sep 12 - Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (second, left) hold a bilateral meeting with Russian President Vladimir Putin in conjunction with the 18th BRICS Leaders "' Summit hosted by Indian Prime Minister Narendra Modi. The 20-minute bilateral meeting took place on the sidelines of the 18th BRICS Leaders "' Summit here in the Indian capital. - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi yang dihoskan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi. --fotoBERNAMA
Advertisement

NEW DELHI: Pembukaan laluan penerbangan terus, fasilitasi perjalanan bebas visa, eksport minyak sawit dan mekanisme khas bagi mempercepat pelaksanaan perjanjian.

Demikian merupakan tumpuan utama perbincangan dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin, malam tadi.

Pertemuan selama kira-kira 20 minit di Hotel ITC Maurya itu berlangsung sejurus kedua-dua pemimpin tiba di ibu negara India di sini sempena Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.

Anwar memulakan pertemuan dengan menyampaikan salam peribadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selain mengulangi jemputan Seri Paduka Baginda kepada Putin untuk mengadakan lawatan negara ke Malaysia.

“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menyampaikan salam hormat baginda,” kata Anwar.

Sultan Ibrahim yang menaiki takhta Persekutuan pada 31 Jan 2024 telah melakukan tiga lawatan ke Rusia atas jemputan Putin.

Baginda melakukan lawatan negara sulung ke Rusia pada Ogos 2025, diikuti lawatan khas ke Saint Petersburg pada Januari tahun ini dan menjelang sambutan Hari Kemenangan Rusia pada 9 Mei lalu.

Menyentuh kesalinghubungan dan sektor pelancongan, Perdana Menteri menegaskan keperluan mempercepat pelaksanaan penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia di samping meneroka kemudahan perjalanan bebas visa bagi memacu pertukaran rakyat ke rakyat serta sektor perniagaan.

"Bagi isu yang telah kita persetujui, kita bergerak sangat pantas. Sebagai contoh, kesalinghubungan udara.

"Pihak kami telah meluluskan semua kebenaran yang diperlukan dan kini menantikan permulaan operasi penerbangan," jelas beliau.

Dalam rundingan perdagangan, kedua-dua pihak turut membincangkan pengukuhan eksport komoditi utama, khususnya peningkatan import minyak sawit Malaysia ke Rusia.

Bagi memastikan segala komitmen dasar diterjemahkan secara efektif, Anwar mencadangkan pembentukan satu mekanisme khas antara Malaysia dan Rusia bagi mempercepat pelaksanaan semua persetujuan dua hala.

Cadangan tersebut dipersetujui sepenuhnya oleh Putin.

Sementara itu, Putin mengalu-alukan kedudukan Malaysia sebagai negara rakan kongsi BRICS dan memuji trajektori hubungan kedua-dua negara menjelang sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2027.

Perkembangan ini disokong pertumbuhan perdagangan dua hala sebanyak 12.9 peratus tahun lalu.

Rusia adalah anggota pengasas kerjasama BRICS manakala Malaysia hadir dalam kapasiti sebagai negara rakan kongsi.

Must Watch Video

Advertisement