PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dibebaskan dengan jaminan selepas memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di sini pada Selasa.

"Yelah, betul. Bahagian Komunikasi Korporat (SPRM) akan keluarkan kenyataan (rasmi) nanti," katanya ringkas ketika dihubungi sama ada Mohd Shukri yang hadir memberi keterangan di SPRM telah dibebaskan dengan jaminan atau sebaliknya.

Terdahulu, Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 9.50 pagi tadi.

Difahamkan, kenderaan membawa Mohd Shukri dilihat keluar pada jam 6.50 petang.

Dua hari lepas SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggar bernilai RM300,000.

Sumber SPRM berkata, pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta dan agensi itu dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan lima individu termasuk anak Mohd Shukri ditahan SPRM berhubung kes membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM600,000 baru-baru ini.

-- Bernama