KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) hari ini melancarkan Program Jualan Rahmah peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, inisiatif itu melibatkan 15 rakan strategik daripada pengusaha pasar raya di ibu negara melibatkan 11 Parlimen.

"Jualan Rahmah akan berlaku bermula daripada 25 Mac sehingga seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri melibatkan 15 rakan strategik (pasar raya) dan melibatkan 11 Parlimen.

"Program ini akan berterusan sehingga hari raya ketujuh. (Menawarkan) diskaun antara 10 hingga 30 peratus barang barang keperluan, seperti beras dan sebagainya," jelasnya.

Secara keseluruhan, sebanyak 30 item barangan keperluan harian dan asas boleh didapati rakyat di wilayah itu setiap Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Juala Rahmah dan Majlis Iftar sempena Hari Pengguna Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda di sini pada Jumaat.

Dalam majlis itu, sebanyak 1,150 bakul Rahmah yang disumbangkan rakan strategik antaranya IGB Reit, 99 Speedmart, KK Mart dan AEON Big turut disalurkan kepada penduduk PPR Batu Muda.

Turut diberikan baucar RM25 bagi setiap keluarga untuk mendapatkan juadah berbuka puasa menu Rahmah di 18 gerai yang dibuka di PPR itu.