Ringkasan AI
- Sebuah kapal tangki membawa 7,000 tan diesel terbalik berhampiran Ibiza, menyebabkan seorang anak kapal maut dan tujuh kru dikejarkan ke hospital.
- Pihak berkuasa Sepanyol sedang menilai risiko pencemaran dengan bantuan pesawat pemantauan dan kapal kawalan pencemaran, namun keadaan kini dilaporkan stabil.
- Insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap ekosistem marin di sekitar Ibiza, termasuk kawasan padang rumpai laut Posidonia oceanica yang diiktiraf UNESCO.
MADRID: Seorang anak kapal maut selepas sebuah kapal tangki yang membawa sehingga 7,000 tan diesel terbalik di perairan berhampiran pulau Ibiza, Sepanyol.
Menurut pihak berkuasa Kepulauan Balearic, kesemua 17 kru kapal Med Emre yang berdaftar di Malta berjaya diselamatkan, namun tujuh daripada mereka dikejarkan ke hospital. Seorang daripada mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia.
Media tempatan melaporkan enam kru yang masih menerima rawatan mengalami kecederaan ringan termasuk hipotermia.
Pihak berkuasa maritim Sepanyol kini menilai kemungkinan kesan pencemaran akibat insiden itu dengan bantuan pesawat pemantauan serta kapal kawalan pencemaran Clara Campoamor.
Presiden Kepulauan Balearic, Marga Prohens, berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada berlaku tumpahan bahan api dalam kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, kapten maritim Valencia, Elena Delgado, berkata tompokan kecil yang dikesan di sekitar kapal itu dilaporkan telah hilang dan keadaan kini semakin stabil.
Kapal tangki kimia itu terbalik kira-kira 46 kilometer dari pantai Ibiza ketika dalam perjalanan dari Algeciras ke Barcelona. Punca kejadian masih dalam siasatan.
Menurut laporan media Sepanyol, kru kapal menghantar panggilan kecemasan pada malam Rabu sebelum memaklumkan berlaku kebocoran dan kapal berada dalam keadaan senget hampir 90 darjah.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan terhadap ekosistem marin di sekitar Ibiza yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk kawasan padang rumpai laut Posidonia oceanica yang penting bagi kelangsungan biodiversiti Mediterranean.