Skip to main content

Dunia

Pemandu ditahan bantu siasatan kebakaran lori tangki yang mengorbankan 31 mangsa

Orang ramai berdiri berhampiran kenderaan yang hangus terbakar selepas sebuah lori tangki yang membawa bahan api terbalik dan terbakar di lebuh raya lingkaran utama di Kaherah, Mesir. - Foto REUTERS
Orang ramai berdiri berhampiran kenderaan yang hangus terbakar selepas sebuah lori tangki yang membawa bahan api terbalik dan terbakar di lebuh raya lingkaran utama di Kaherah, Mesir. - Foto REUTERS
Advertisement

KAHERAH: Pihak pendakwa raya Mesir menahan seorang pemandu berusia 21 tahun bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang dipercayai mencetuskan kebakaran sebuah lori tangki bahan api di Kaherah, mengorbankan 31 orang.

Menurut pihak pendakwa, pemandu terbabit disyaki melanggar lori tangki berkenaan ketika cuba memotong kenderaan lain sebelum kehilangan kawalan.

Pelanggaran itu menyebabkan lori tangki terbabas, terbalik dan terbakar.

Advertisement

Kebakaran yang berlaku pada petang Rabu di kawasan Al-Waraq, Giza, ketika waktu puncak itu turut memusnahkan 27 kenderaan termasuk kereta dan motosikal.

Pihak pendakwa turut mengarahkan suspek menjalani ujian forensik bagi menentukan sama ada beliau berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

Advertisement

Menurut Reuters, pasukan forensik kini menjalankan ujian DNA bagi mengenal pasti beberapa mangsa yang rentung dalam kebakaran tersebut.

Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan seramai 31 orang maut manakala 26 lagi cedera.

Lima mangsa yang cedera telah dibenarkan pulang, sementara selebihnya masih menerima rawatan di hospital.

Presiden Abdel Fattah el-Sisi mengarahkan bantuan perubatan penuh diberikan kepada mangsa yang cedera serta sokongan disalurkan kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Insiden itu turut mencetuskan semula perbahasan mengenai keselamatan jalan raya di Mesir.

Beberapa ahli politik dan penggubal undang-undang menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan tragedi serupa berulang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement