MELAKA: Lima lelaki ditahan bersama 26,000 liter diesel dipercayai diseleweng yang disimpan di sebuah gudang menerusi Op Tiris di Taman Perindustrian Bukit Rambai di sini malam tadi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Norena Jaafar berkata dalam serbuan kira-kira 8.30 malam tadi oleh pihak polis, pelbagai peralatan antaranya pam, dua lori dan beberapa tangki simpanan dan wang tunai bernilai keseluruhan hampir RM400,000 turut dirampas.

"Ketika serbuan dilakukan, terdapat lima pekerja iaitu empat lelaki tempatan dan seorang warga Bangladesh berusia 25 hingga 60 tahun yang dipercayai bekerja sebagai penjaga stor, mengurus pemindahan diesel dan pemandu lori.

"Dalam pemeriksaan awal yang dilakukan di premis itu, terdapat sebuah lori tangki berkapasiti 26,000 liter hampir penuh diisi dengan diesel dipercayai bersedia untuk bergerak keluar dari gudang itu," katanya pada sidang akhbar di Taman Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Norena berkata modus operandi sindiket itu adalah membeli diesel maksimum RM500 di setiap satu stesen minyak bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa dan bahan api itu akan dijual ke pasaran haram khususnya pihak industri pada harga lebih murah iaitu di bawah RM3.20 seliter.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesalahan pertama melibatkan orang perseorangan, denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN KPDN negeri menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi sebanyak 27,300 liter bernilai RM58,695 di Kampung Chuah, Port Dickson semalam.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam itu, pihaknya turut menyita dua lori tangki dan peralatan yang digunakan untuk aktiviti itu termasuk hos dengan keseluruhan nilai rampasan bagi kes terbabit adalah RM138,695.

"Ketika serbuan, didapati terdapat dua lori tangki dalam keadaan mencurigakan berada di pekarangan tanah lot di kawasan itu dengan lori pertama mempunyai 16,380 liter minyak diesel manakala lori kedua mengandungi 10,920 liter cecair itu.

"Siasatan awal mendapati individu yang ditemukan di lokasi kejadian tidak mempunyai sebarang lesen atau permit khas dan surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi Barangan Kawalan Berjadual," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA