KPDN Pahang rekod 930 kesalahan peniaga tahun ini

Jezlily pada Majlis Perasmian Program Pasar Patuh Peringkat Pahang di Pasar Besar Pekan hari ini. - Gambar Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja
PEKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang merekodkan 930 kes melibatkan pelbagai kesalahan hasil 86,504 pemeriksaan di premis perniagaan di seluruh negeri ini sejak 1 Jan hingga bulan lepas.
Ringkasan AI
- KPDN Pahang merekodkan 930 kes pelanggaran perdagangan hasil daripada 86,504 pemeriksaan premis perniagaan, dengan nilai sitaan keseluruhan RM2.31 juta dan kompaun RM258,020.
- Program Pasar Patuh diperkenalkan untuk memastikan peniaga mematuhi undang-undang perdagangan, menekankan keperluan pamer harga dengan jelas dan menyediakan persekitaran pasar yang selamat.
- Pahang mempunyai 26 pasar awam utama yang memerlukan pemantauan berterusan, dengan KPDN Pahang menjalankan pemeriksaan lapangan bagi mengelakkan kenaikan harga melampau.
"Sepanjang tempoh berkenaan juga, sebanyak 1,108 aduan diterima termasuk 430 aduan melibatkan isu harga dan 95 berkaitan bekalan barang kawalan," katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Pasar Patuh Peringkat Pahang di Pasar Besar Pekan di sini hari ini.
Jezlily berkata Program Pasar Patuh bertujuan untuk memastikan peniaga mempamerkan harga dengan jelas, menggunakan alat timbang sah dan menyediakan persekitaran pasar yang kemas, selamat serta teratur.
"Program itu akan diperluas ke pasar utama lain di seluruh Pahang secara berperingkat. Inisiatif ini bukan hanya usaha advokasi tetapi strategi penguatkuasaan menyeluruh bagi meningkatkan kesedaran peniaga terhadap pematuhan undang-undang dan menggalakkan persaingan sihat," katanya.
Jezlily berkata Pahang mempunyai 26 pasar awam utama, menjadikannya sektor penting yang memerlukan pemantauan berterusan.
Beliau berkata KPDN Pahang sentiasa melakukan pemeriksaan di lapangan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga secara melampau dan pihaknya tidak menghadapi masalah walaupun di pedalaman kerana mempunyai lima cawangan di lokasi strategik dengan bilangan anggota yang mencukupi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


