BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga Jualan Rahmah pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penawaran itu akan di bawa ke Program Jualan Rahmah (PJR) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang ditambah jumlah pelaksanaannya pada bulan November dan Disember tahun ini.

"Pendekatan ini diambil sebagai salah satu strategi intervensi untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan jualan ayam pada harga yang berpatutan.

"Pelaksanaan pendekatan ini akan ditumpukan di kawasan-kawasan yang dilaporkan mempunyai isu penjualan harga yang agak tinggi di pasaran setempat," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, pendekatan ini juga adalah sejajar dengan usaha untuk menangani sebarang isu berbangkit berkaitan kadar harga ayam susulan pengumuman penamatan langkah sementara penetapan harga kawalan bagi ayam yang bermula 1 November.

"Langkah penetapan harga kawalan sementara berkenaan dilaksanakan bermula bulan Februari 2022 disebabkan harga yang terlalu tinggi pada masa tersebut yang melibatkan pemberian subsidi kepada penternak," ujarnya.

Untuk rekod katanya, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum 1 November 2023 bagi Negeri Sabah melibatkan dua harga iaitu RM12.00/kg bagi Pantai Barat dan RM12.30/kg bagi Pantai Timur.

"Di Sarawak, penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum ini adalah berbeza mengikut daerah dengan kadar di antara RM10.80/kg hingga RM13.90/kg. Sementara itu, harga kawalan ayam super bagi Labuan adalah RM12.30/kg.

"KPDN juga telah melaksanakan pemantauan harian setakat 4 November 2023 di pelbagai premis di seluruh negara dan bagi Sabah, hasil pemantauan mendapati harga ayam super di pasaran adalah di antara RM11.49/kg hingga RM13.90/kg.

"Manakala di Sarawak penawaran harga di pasaran adalah di antara RM8.90/kg hingga RM18.90/kg. Sementara itu, harga ayam super di pasaran Labuan adalah di antara RM9.00/kg hingga RM13.90/kg," jelasnya.