Skip to main content

Malaysia

KPDN Perak sita lebih lapan tan barang kawalan bernilai hampir RM22,000

KPDN Perak
Pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Tapah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kedai barangan membuat kek di Slim River. - Foto KPDN Perak

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita lebih lapan tan barang kawalan dalam pemeriksaan di bawah Op Tiris 4.0 di sebuah kedai menjual barangan membuat kek di Slim River, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, daripada jumlah itu, 7,813 kilogram (kg) adalah tepung gandum dan 1,056kg lagi gula.

Advertisement

Menurutnya, nilai keseluruhan barangan tersebut dianggarkan RM21,862.32.

“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan menjual barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Kamalludin berkata, kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Tapah telah melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan seterusnya telah mendapati premis itu ada memiliki barang kawalan iaitu tepung gandum dan gula untuk jualan.

“Satu notis di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat pemilikan barang kawalan yang berada di premis tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, hasil maklum balas terhadap notis tersebut mendapati premis itu memiliki bekalan semasa tepung gandum sebanyak 7,813kg dan gula sebanyak 1,056kg.

Katanya, peniaga juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan melibatkan barang kawalan.

 

Must Watch Video