LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempertimbang langkah menyemak semula kuota import bagi minyak masak dan telur ayam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata semakan semula itu mungkin perlu dilakukan bagi menangani isu kekurangan komoditi terbabit di pulau bebas cukai ini.

"Saya ambil maklum isu kekurangan bekalan telur, minyak masak, gula dan harga ayam lebih mahal seperti yang dibangkitkan oleh pengguna serta peniaga di sini.

"Kami boleh pertimbang untuk semak semula kuota import bagi telur ayam dan minyak masak dalam usaha membantu menyelesaikan isu kekurangan bekalan kedua-dua barangan keperluan ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Aduan Suri di Medan Selera Taman Kewangan di sini pada Khamis.

Beliau berkata isu harga barangan yang mahal di pulau ini perlu diselesaikan kerana ia boleh membawa kepada kos sara hidup tinggi yang tidak terkawal.

"Kami akan menyemak semula Program Penyeragaman Harga memandangkan harga barangan di pulau ini boleh diseragamkan seperti di bandar lain di Sabah... kami faham perbezaan harga antaranya adalah disebabkan oleh isu logistik.

"Sebagai contoh, harga bagi ayam standard di Semenanjung ialah RM9.40 sekilogram manakala di Labuan RM12.30 sekilogram," katanya.

Mengulas mengenai inisiatif 'Payung Rahmah' bagi mengurangkan kos sara hidup untuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar, Fuziah berkata beliau menerima maklum balas yang memberangsangkan daripada pengguna mahupun peniaga.

"Setakat hari ini, kami telah mendaftarkan sejumlah 1,085 cawangan kedai makan di seluruh negara yang menawarkan Menu Rahmah termasuk 26 di Labuan," katanya.

Beliau berkata KPDN juga akan melancarkan 'Kafe Rahmah' bagi meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi.

-- BERNAMA