Skip to main content

Malaysia

KPDN rampas 27,000 botol pewarna rambut disyaki guna logo halal tidak sah

S. Jegan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 27,000 botol produk pewarna rambut yang dirampas kerana disyaki menyalahgunakan logo halal Malaysia tanpa memiliki SPHM yang sah dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Selamat hari ini. - Gambar Bernama
S. Jegan (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada 27,000 botol produk pewarna rambut yang dirampas kerana disyaki menyalahgunakan logo halal Malaysia tanpa memiliki SPHM yang sah dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Selamat hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

TASEK GELUGOR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 27,000 botol produk pewarna rambut bernilai RM1.08 juta disyaki menyalahgunakan logo halal Malaysia dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Selamat, di sini hari ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata serbuan kira-kira 1 tengah hari itu dilakukan hasil aduan dan risikan selama tiga minggu oleh anggota penguat kuasa kementerian itu.

“Dua pekerja iaitu seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga China berusia lingkungan 30-an turut ditahan di premis itu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di gudang itu di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, produk itu disyaki mempamerkan logo halal Malaysia walaupun pihak syarikat gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Jegan berkata siasatan turut mendapati produk pewarna rambut itu diimport dari China dan disimpan di gudang disewa syarikat itu sebelum dipasarkan secara dalam talian menerusi platform media sosial serta e-dagang.

Advertisement

“Syarikat itu dipercayai beroperasi sejak enam bulan lepas. Dianggarkan 600,000 unit produk pewarna rambut berjaya dijual sepanjang tempoh itu dengan satu botol pada harga RM40,” katanya.

Jegan berkata modus operandi syarikat itu termasuk memaparkan sijil halal yang disyaki palsu dalam iklan menerusi media sosial dan e-dagang, selain menggunakan khidmat pempengaruh media sosial terkenal serta ejen affiliate bagi meyakinkan pengguna mengenai status halal produk berkenaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati sijil halal yang dipaparkan dalam promosi dijalankan sebenarnya milik syarikat lain dan bukannya syarikat yang memasarkan produk tersebut.

Jegan berkata perkara itu amat membimbangkan kerana pewarna rambut itu merupakan produk penjagaan diri yang digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan warga emas dan penyalahgunaan logo halal boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan keyakinan terhadap integriti pensijilan halal negara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik syarikat itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730),” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati pengguna supaya menyemak status halal sesuatu produk menerusi laman web rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), khususnya sebelum membuat pembelian dan tidak bergantung sepenuhnya kepada dakwaan penjual atau promosi affiliate.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement