PUTRAJAYA: Ops Tiris, yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos ini, akan diteruskan sehingga 31 Dis depan.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata Ops Tiris yang diteruskan untuk Fasa 2.0 itu, susulan kejayaan pelaksanaannya sejak 1 Mac lepas apabila sebanyak 4.31 juta liter minyak diesel bernilai RM9.23 juta telah dirampas sehingga semalam (23 Ogos).

Beliau berkata Ops Tiris Fasa 2.0 itu akan turut memfokuskan skop siasatan yang lebih menyeluruh meliputi rantaian bermula daripada sumber pembelian bekalan sehingga kepada pembeli haram.

"Ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran terperinci berhubung keseluruhan rantaian pasaran gelap minyak diesel yang disyaki turut melibatkan sindiket," katanya dalam Sesi Libat Urus Bersama Media di sini hari ini.

Armizan berkata Unit Risikan Perniagaan (Business Intelligence Unit) di bawah Bahagian Penguat Kuasa KPDN juga akan ditubuhkan di bawah Ops Tiris Fasa 2.0, bertujuan untuk menjalankan tugasan perisikan perniagaan di pasaran melibatkan isu berkaitan sektor barang kawalan subsidi; perdagangan; pengedaran dan perniagaan; industri perkhidmatan dan perniagaan dalam talian; serta hal ehwal kos sara hidup.

"Melalui platform Ops Tiris Fasa 2.0, Bahagian Penguat Kuasa KPDN juga bakal merintis risikan terhadap ketirisan subsidi lain seperti minyak masak, beras, gula dan gas petroleum cecair (LPG)," katanya.

Mengenai pelaksanaan Ops Tiris, Armizan berkata bagi tempoh 1 Mac sehingga semalam (23 Ogos), sebanyak 10,351 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dan 459 kes telah direkodkan dan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Sebanyak 379 tangkapan telah dilakukan dalam tempoh tersebut melibatkan 305 individu warganegara, 71 warga asing dan tiga individu adalah pemastautin tetap," katanya.

Daripada 459 kes itu, 225 merupakan kes serahan yang diterima daripada rakan agensi strategik seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Pasukan Polis Marin, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, katanya.

Menerusi Ops Tiris itu, katanya KPDN turut merampas aset dan peralatan lain seperti lori, skid tank dan nozel flow meter berjumlah RM25.24 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Operasi KPDN Shamsul Nizam Khalil berkata antara faktor menyebabkan aktiviti penyelewengan minyak diesel berlaku adalah kerana ada permintaan daripada industri untuk mendapatkan bekalan dengan harga murah dari pasaran.

"Pihak industri perlu membeli minyak diesel dengan harga lebih tinggi dari harga subsidi dan harga ini berubah setiap minggu.

"Contohnya minggu ini harga minyak diesel di pasaran ialah RM3.60, sedangkan harga diesel bersubsidi yang dijual di stesen minyak ialah RM2.15. Perbezaan harga itu walaupun nampak kecil tetapi memberi keuntungan yang banyak kepada pembeli haramr," katanya.

-- BERNAMA