KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) komited dalam menyokong dasar kerajaan untuk memastikan negara mencapai status karbon sifar menjelang 2050 menerusi beberapa program oleh agensi di bawahnya.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata antaranya dalam tempoh terdekat pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad mengenai pemasangan panel tenaga solar di bumbung kesemua 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.

"Program itu bertujuan menggalakkan penggunaan tenaga lestari di MRSM yang dijangka dilancarkan dalam masa dua bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Tenaga Lestari - Mencapai Neutral Karbon Menjelang 2050 di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di Gombak dekat sini semalam.

Beliau berkata bagi kawasan luar bandar, KPLB melaksanakan program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) terutamanya di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Menurutnya tahun ini lebih RM200 juta diperuntukkan untuk pembangunan tenaga solar luar bandar di bawah program tersebut.

"Sekarang bekalan elektrik berasaskan tenaga solar sudah digunakan di pulau-pulau di daerah Beluran (Sabah)," katanya.

Mahdzir berkata UniKL sebuah institusi di bawah MARA pula memberi fokus menyediakan modal insan dalam tenaga lestari menerusi program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal (Tenaga Lestari).

Menurutnya seramai 1,000 graduan dalam bidang tersebut dijangka dihasilkan menjelang 2030.

Pada majlis yang sama beliau turut melancarkan projek pembinaan makmal tenaga lestari UniKL dengan kos pembinaan RM12.5 juta yang akan menjadi bangunan pertama di Malaysia berstatus hampir sifar karbon.

Katanya bangunan akademik tiga tingkat itu akan digunakan pelajar program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Elektrikal (Tenaga Lestari).

Menurutnya reka bentuk bangunan tersebut membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara selaras dengan usaha kerajaan untuk mengadaptasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di Malaysia.

-- BERNAMA