MALAYSIA
KPM ambil tindakan tegas kes pukul pelajar di Kajang - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam catatan di Facebook hari ini berkata beliau mengambil perhatian berhubung kejadian itu dan dimaklumkan insiden berlaku akibat salah faham antara pelajar terlibat. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku membabitkan warga sekolah, termasuk kejadian memukul pelajar sekolah di Kajang, Selangor baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam catatan di Facebook hari ini berkata beliau mengambil perhatian berhubung kejadian itu dan dimaklumkan insiden berlaku akibat salah faham antara pelajar terlibat.
"Tindakan pantas telah diambil. Empat orang pelajar terlibat telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan. KPM tidak berkompromi dengan salah laku ini dan akan mengambil tindakan tegas berdasar kepada hasil siasatan pihak polis," katanya.
Beliau turut mengarahkan pihak sekolah terlibat serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk melaksanakan program intervensi bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah.Terdahulu, polis menahan empat pelajar lelaki berumur 13 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di daerah berkenaan pada 12.57 tengah hari, semalam.
Dalam kejadian itu, terdapat video tular memaparkan mangsa dipukul oleh dua pelajar manakala dua lagi rakan mereka merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami