TANJUNG MALIM: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua sekolah di seluruh negara melakukan pemeriksaan terhadap tangki air supaya insiden yang menimpa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor tidak berulang.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata seluruh sekolah juga diarahkan untuk melakukan pemeriksaan ke atas semua infrastruktur lain terutama yang sudah uzur.

Menurutnya, sekiranya terdapat binaan yang dirasakan tidak selamat atau berkemungkinan akan mengancam keselamatan murid, pihak sekolah diminta untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“KPM memandang serius isu berkenaan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengambil tindakan perlu bagi menanganinya daripada berulang.

“Namun yang utama ketika ini adalah untuk kita mengambil langkah-langlah pencegahan. Selepas itu, sekiranya berlaku insiden yang tidak dijangka, kita akan mengambil langkah seterusnya untuk menyiasat,” katanya.

[TERKINI] Tangki air SMK Melor di Kelantan pecah, beberapa murid cedera


Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Malim di sini pada Rabu.

Pada pagi Selasa, media melaporkan sebuah tangki air di SMK Melor Kota Bharu, Kelantan telah pecah lalu menimpa laluan pejalan kaki di situ.

Turut dilaporkan insiden berkenaan telah mengakibatkan lima pelajar cedera yang mana dua daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Dalam pada itu, Hang Soon berkata KPM sentiasa menekankan aspek keselamatan murid dan pelajar terutama dalam kawasan sekolah.

“Kita memandang serius dan amat menitikberatkan keselamatan anak-anak murid kita ini dan tindakan-tindakan sesuai telah diambil semua pihak.

“Ini bagi memastikan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dapat kita lakukan dalam waktu terdekat,” jelasnya lagi.

Pada perkembangan sama, beliau memberitahu projek pembinaan Dewan Terbuka SK Tanjong Malim yang menelan kos hampir RM400,000 itu dijangka siap penghujung tahun ini.

Selain itu Hang Soon berkata pihaknya turut menyampaikan sumbangan tambahan bernilai RM100,000 bagi penyelenggaraan tandas, longkang serta lebih 40 kerusi dan meja murid yang baharu.