RANAU: Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited membangunkan sekolah yang daif dan terjejas bencana bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang lebih kondusif.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya kini giat membina bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan serta bakal menjadi hab pelancongan pendidikan. 

“Projek yang dibina bermula 9 April lalu telahpun bermula sekitar enam peratus dan dijangka siap pada Oktober 2023. Sekolah baharu ini mampu menampung 900 pelajar di sekitar kawasan Kundasang selain kemudahan asrama akan dibina untuk menempatkan 350 pelajar.

“Sekolah ini juga amat strategik dengan perjalanan dari Pekan Kundasang ke sekolah mengambil masa sekitar 30 minit selain berupaya menjadi sekolah dengan hab atau ciri-ciri pelancongan berdasarkan kelebihan yang sedia ada di kawasan sekitarnya sekali gus menjadi sekolah contoh di seluruh negara.

“Ini termasuk 24 bilik darjah, bilik guru dan beberapa insfrastruktur lain,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di tapak projek SMK Kundasang, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohamad menambah, beberapa projek juga sedang dilaksanakan kementerian, khususnya melibatkan penambahbaikan sekolah daif.

“Antaranya, Sekolah Kebangsaan (SK) Narawang yang menerima penambahbaikan sudahpun mencapai 82 peratus dan dijangka siap tidak lama lagi, serta pelbagai projek akan bermula pada tahun ini.

“Kami akan terus turun padang untuk mendengar, membantu dan mencari jalan penyelesaian agar mana-mana institusi di bawah KPM mendapat bantuan sewajarnya,” jelasnya lagi.