KPM perkenal sekolah terapung Tasik Banding, inovasi tangani keciciran murid

Fadhlina (foto) menegaskan bahawa sekolah terapung ini akan menjadi model pendidikan inklusif, fleksibel, dan berteraskan komuniti, turut menarik minat murid Orang Asli ke sekolah. -Gambar fail/Bernama
GERIK: Usaha merapatkan jurang pendidikan di kawasan pedalaman memasuki era baharu apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan sekolah terapung pertama negara di Tasik Banding bulan lepas, satu pendekatan inovatif yang menyasarkan akses pendidikan lebih menyeluruh untuk anak-anak Orang Asli.
Ringkasan AI
- KPM memperkenalkan sekolah terapung pertama di Tasik Banding sebagai inisiatif ProKhas, bertujuan menyediakan akses pendidikan lebih menyeluruh bagi anak-anak Orang Asli dengan pendekatan inovatif.
- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan bahawa sekolah terapung ini akan menjadi model pendidikan inklusif, fleksibel, dan berteraskan komuniti, turut menarik minat murid Orang Asli ke sekolah.
- Guru-guru terlatih dalam pendekatan pedagogi yang berbeza untuk mengajar pelajar dengan tahap kemampuan yang berbeza, memastikan pembelajaran lebih berkesan dan berterusan bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak Orang Asli terjamin.
"Alhamdulillah, setakat ini respons amat positif. Masih ada anak-anak di pedalaman yang sedang kami usaha bawa keluar, dengan harapan apabila mereka melihat rakan-rakan datang ke sekolah, minat itu turut terbit dalam diri mereka.
"Di sinilah bermulanya komitmen kami untuk memastikan tiada seorang pun anak-anak yang terpinggir. Selain itu, pendekatan sekolah di atas bot terapung adalah untuk membina kepercayaan kami dengan komuniti terlebih dahulu. Pastinya, kami ada perancangan yang lebih signifikan selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ProKhas: Program Sekolah Terapung Tasik Banding, Gerik.
Fadhlina berkata proses pengajaran bagi sekolah khas itu juga disesuaikan dengan keperluan pelajar yang berbeza umur dan tahap kemampuan dengan guru-guru menggunakan pendekatan pedagogi berbeza untuk memastikan pembelajaran lebih berkesan.
"Sebenarnya guru-guru ini terlatih dari segi pedagogi dan mereka tahu bagaimana untuk melaksanakan pembelajaran di dalam kelas itu, khususnya yang disebut sebagai pedagogi terbeza.
"Jadi, sepertimana yang saya sebut tadi, kami ada dua tahap. Kami asingkan terlebih dahulu kerana mereka ini mempunyai tahap-tahap yang berbeza.
"Selepas itu guru-guru akan mula membuat penilaian dan melihat bagaimana pendidikan mereka ini akan diteruskan dengan peningkatan dan progresif sifatnya dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan sekolah terapung itu, bukan usaha sementara sebaliknya KPM akan terus melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berkembang sebagai model pendidikan jangka panjang yang mampan dan mampu melindungi masa depan pendidikan anak-anak Orang Asli.
Sementara itu, Muhammad Syauqi Zainal Abidin yang juga seorang daripada guru yang ditugaskan bagi mendidik anak-anak Orang Asli di sekolah itu berkata program berkenaan melibatkan tiga kampung iaitu Charuk Bus, Tebang dan Chiong, dengan 47 murid berumur antara enam hingga 16 tahun sejak 13 Okt lepas.
"Kelas ini dijalankan pada Isnin hingga Rabu setiap minggu, dengan kehadiran dua guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Kemar K11. Kelas pula akan dibahagikan kepada dua iaitu pelajar yang kecil (terdiri prasekolah) dan besar (sekolah menengah).
"Jadi, biasanya kami berikan lembaran kerja yang mudah, maksudnya supaya mereka boleh mengenal huruf dan huruf vokal, lepas itu dari semasa ke semasa kami akan tingkatkan lembaran kerja seperti mengeja suku kata dan pendekatan yang digunakan adalah berbentuk didik hibur seperti bermain dan menyanyi," katanya.
Beliau berkata sebelum sekolah terapung wujud, murid-murid Orang Asli terpaksa menaiki bot selama 20 minit diikuti perjalanan darat untuk ke SMK RPS Banun, yang memerlukan kos tambahan dan menyebabkan sebahagian mereka tinggal di asrama jauh daripada ibu bapa.
Seorang lagi pelajar Rosilawati Lambok, 14, dari Kampung Charuk Bus pula menzahirkan rasa gembira dengan langkah kerajaan mewujudkan sekolah berkenaan kerana ia lebih dekat dengan rumah berbanding sebelum ini dia perlu ke Manjung untuk mendapatkan akses pendidikan.
"Gembira sebab dekat dengan rumah... suasana di sekolah ini juga seronok dapat jumpa kawan-kawan dan saya sangat suka aktiviti mewarna yang dibuat oleh cikgu di sekolah ini," katanya.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah yang menjadikan sekolah terapung di Tasik Banding sebagai inisiatif inovatif dalam memerangi cabaran pendidikan di kawasan pedalaman? A: Sekolah terapung di Tasik Banding adalah kaedah intervensi yang lebih dekat dengan komuniti Orang Asli untuk menarik minat murid ke sekolah serta memahami isu-isu penghalang dalam pendidikan formal.
- Q: Berapakah bilangan murid dan kampung yang terlibat dalam program sekolah terapung di Tasik Banding? A: Program sekolah terapung di Tasik Banding melibatkan 47 murid berumur antara enam hingga 16 tahun dari tiga kampung iaitu Charuk Bus, Tebang, dan Chiong.
- Q: Apakah pendekatan pembelajaran yang digunakan oleh guru-guru di sekolah terapung untuk memastikan pembelajaran lebih berkesan? A: Guru-guru di sekolah terapung menggunakan pendekatan pedagogi yang berbeza-beda sesuai dengan keperluan pelajar yang berbeza umur dan tahap kemampuan bagi memastikan pembelajaran lebih berkesan.
- Q: Bagaimanakah sekolah terapung di Tasik Banding membantu memastikan anak-anak Orang Asli tidak terpinggir dari pendidikan? A: Sekolah terapung di Tasik Banding membantu memastikan anak-anak Orang Asli tidak terpinggir dengan menyediakan akses pendidikan yang lebih dekat dengan rumah dan menyediakan ruang pembelajaran yang inklusif serta fleksibel.
- Q: Apakah perbezaan antara program sekolah terapung dengan pendekatan pendidikan sebelum ini bagi murid Orang Asli di kawasan pedalaman? A: Sebelum wujudnya sekolah terapung, murid Orang Asli terpaksa menaiki bot dan melakukan perjalanan darat untuk ke sekolah, sementara sekolah terapung di Tasik Banding memberikan akses pendidikan yang lebih dekat dengan komuniti serta menggunakan pendekatan pembelajaran yang lebih berkesan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

