NATIONAL
KPM siasat video tular guru marah murid di kantin - Fadhlina

Fadhlina memberi peringatan supaya guru sentiasa menjaga integriti dan etika susulan rakaman video tular yang menunjukkan seorang murid dimarahi guru di sebuah kantin sekolah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi peringatan kepada guru agar sentiasa menjaga integriti dan mematuhi etika di bawah Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0 dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab masing-masing.
Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengingatkan guru agar sentiasa menjaga integriti dan mematuhi etika di bawah Standard Guru Malaysia (SGM) 2.0 susulan video tular seorang murid dimarahi di kantin sekolah.
- Kementerian sedang menyiasat insiden tersebut dan menekankan pentingnya menyelesaikan isu secara berhemah dalam ruang yang selamat dan privasi.
- Ketua Pengarah Pendidikan diberi tanggungjawab untuk terus mengingatkan guru tentang etika, termasuk tingkah laku di dalam kelas dan di media sosial.
"Kita sudah ingatkan perkara itu berkali-kali, sudah ada garis panduannya. Mereka sebagai penjawat awam mesti mematuhi etika dan integriti sedia ada, sebab itu saya kata perkara ini mesti sentiasa diperingatkan dari semasa ke semasa.
"Apa pun isunya, saya yakin dan percaya bahawa ada ruang yang lebih selamat...ruang yang lebih bersifat privasi untuk memastikan apa sahaja perbincangan dan isu dapat kita selesaikan secara baik,” katanya ketika ditanya tentang rakaman video tular itu.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Fadhlina berkata, beliau telah amanahkan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan untuk melihat perkara berkenaan dan sentiasa mengingatkan guru tentang integriti serta etika mereka sama ada di dalam mahupun di luar kelas serta di media sosial.
"Saya amat kesal dengan perkara yang berlaku kerana apabila video itu ditularkan, rakaman tersebut memberi impak besar,” katanya.
Semalam rakaman video berdurasi 2.32 minit tular dalam media sosial menunjukkan seorang murid menangis teresak-esak semasa memberi penjelasan kepada guru yang sedang memarahinya di kantin sekolah dan kejadian itu dipercayai berlaku pada 14 April lepas. - Bernama
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami