PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM135,000 kepada 12 pejabat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai persiapan gerak kerja pascabanjir, kata Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata ia bagi program seperti Rukun Tetangga (RT) Cares, Dapur Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), aktiviti pembersihan lokasi terjejas banjir, ziarah perpaduan dan gerak kerja lain yang bersesuaian dengan keperluan semasa komuniti.

Aaron juga telah mengarahkan jentera perpaduan peringkat negeri, daerah atau bahagian seperti KRT, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Skuad Uniti (SU) untuk mengemukakan laporan dan butiran lengkap berkenaan mangsa banjir di kawasan terjejas.

"Menurut laporan sehingga 24 Disember, sebanyak lima KRT telah terjejas banjir dengan bilangan mangsa yang terlibat ialah seramai 450 orang daripada 198 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kementeriannya akan terus memantau keadaan di kawasan terjejas banjir manakala KRT yang terkesan banjir dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA