KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memudah cara segala urusan Nur Nabilah Mohd Azahar yang terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacoa, Caribbean baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia termasuk usaha membawa pulang pelajar UUM itu dan tuntutan insurans.

"Namun begitu, sebagai langkah segera, UUM akan membiayai pembayaran awal kos rawatan hospital Nur Nabilah sebelum tuntutan insurans perlindungan penuh dibuat.

"Pihak KPT juga telah mengarahkan UUM untuk menyelaras urusan membawa pulang pelajar berkenaan dengan Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela bergantung kepada tahap kesihatan dan kebenaran daripada hospital di Curacoa," menurutnya dalam kenyataan itu.

Nur Nabilah, 25, yang merupakan pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) di UUM, dilaporkan mengalami kemalangan pada 28 Dis tahun lepas mengakibatkan kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga perlu menjalani pembedahan kecemasan.

Pelajar itu sedang menjalani latihan industri selama empat bulan bermula 13 Sept 2021 hingga 13 Jan ini.

Noraini turut menzahirkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa pelajar UUM itu.

-- BERNAMA